fbpx

Kuching FA fokus kekal pada Liga Premier

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PASUKAN Kuching FA dijangka kembali berlatih dua minggu sebelum aksi Liga Premier menentang Selangor 2 di Stadium Sarawak, Kuching pada 26 Ogos ini.

PENDATANG baharu Liga Malaysia (Liga M), Kuching FA akan berusaha sedaya upaya kekal dalam saingan Liga Premier musim depan meskipun persiapan pasukan agak terencat akibat beberapa pemain disyaki dijangkiti pandemik Covid-19 baru-baru ini.

Barisan pemain Kuching FA pastinya berdepan kesukaran untuk mencapai tahap kecergasan terbaik dalam tempoh singkat memandangkan kesemua mereka terpaksa menjalani kuarantin selepas lima tonggaknya positif Covid-19 sebelum ini.

Setiausaha Kuching FA, Iswandi Ali Hassan mengakui, sasaran mereka adalah untuk kekal dalam kancah Liga Premier berdasarkan situasi semasa selain faktor saingan musim ini dipendekkan kepada tujuh perlawanan sahaja.

“Mula-mula sasaran kami adalah kekal dalam Liga Premier dan mahu masuk saingan Piala Malaysia. Kami lihat ada peluang sebab ada lima pasukan feeder musim ini.

“Sekarang agak sukar dengan tahap kecergasan semua pemain selain ada tujuh perlawanan sahaja, jadi kami lupakan dahulu Piala Malaysia dan cuba kekal dalam Liga Premier untuk musim depan,” katanya.

Masa ternyata mencemburui Kuching FA yang dijangka dapat kembali berlatih dua minggu sebelum aksi Liga Premier diteruskan semula menentang Selangor 2 di Stadium Sarawak, Kuching pada 26 Ogos ini.

Skuad Kuching FA dijangka tamat kuarantin pada 8 Ogos ini, manakala tarikh pelepasan kelima-lima pemain yang dilaporkan positif sebelum ini perlu bergantung kepada perkembangan semasa daripada pihak Kementerian Kesihatan.

“Ia sedikit sebanyak akan mengganggu juga perancangan kami kerana perlu bermula dari bawah semula untuk latihan. Memang kami perlu ambil masa untuk aksi 26 Ogos menentang Selangor 2,” jelasnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI