KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah membuat satu laporan polis terhadap seorang pemilik akaun Twitter yang dikenali sebagai Nicole Fong berhubung satu tuduhan palsu dan tidak berasas berkenaan program Mukhayyam.
Program tersebut anjuran Jakim dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) khusus kepada komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) beragama Islam yang dianjurkan bersama oleh JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Paimuzi Yahya berkata, individu tersebut telah menyamakan program Mukhayyam dengan amalan terapi pertukaran dari barat seperti terapi menggunakan kejutan elektrik, pembedahan, kahwin secara paksa dan rogol secara korektif.
Menurut beliau, laporan polis itu dibuat supaya siasatan lanjut dilakukan terhadap tuduhan palsu berkenaan dan demi menjaga nama baik pihak kerajaan.
“Jakim berpandangan tuduhan tersebut berbaur manipulatif, berniat jahat serta dilihat ingin menghalang dan menyekat hak kebebasan beragama warga Muslim dalam kalangan komuniti LGBT yang ingin menjalani kehidupan yang lebih baik selari dengan tuntutan syariat.
“Jakim menegaskan pendekatan program Mukhayyam itu adalah bersifat sukarela dengan pendekatan harmoni dan holistik yang menekankan aspek kesedaran kerohanian; bimbingan fardhu ain; kesedaran kesihatan; motivasi dan bimbingan kerjaya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – K! ONLINE.