KUALA LUMPUR – Hanya 45 minit dilepas tanpa dibebas pertuduhan terlibat aktiviti pengubahan wang haram RM15 juta milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, peguam terkemuka Datuk Mohd. Hafarizam Harun didakwa semula di Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi atas tiga pertuduhan sama.
Bagaimanapun Mohd. Hafarizam, 48, yang juga Penasihat Undang-undang UMNO itu mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya dihadapan Hakim Azman Ahmad.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, Mohd. Hafarizam didakwa telah melibatkan diri dan menerima wang berjumlah RM15 juta yang merupakan hasil aktiviti haram melalui tiga keping cek AmIslamic Bank milik Mohd. Najib Abdul Razak yang didepositkan ke dalam akaun pelanggan firma guaman milik tertuduh iaitu Tetuan, Hafarizam, Wan & Aisha Mubarak (HWAM) .
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Cawangan PWTC, Podium Block, PWTC, Jalan Tun Ismail di sini antara 17 April 2014 hingga 22 Januari 2015.
Berikutan itu bagi kesemua pertuduhan, tertuduh didakwa mengikut Subseksyen 4(1)(a) dan 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (akta 613) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta yang sama.
Hukuman bagi kedua-dua seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum lima dan 15 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda hasil aktiviti wang haram atau RM5 juta atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Terdahulu, peguam Datuk Hasnal Rezua Merican yang mewakili tertuduh memohon jumlah ikat jamin RM200,000 terhadap tertuduh bagi kesemua pertuduhan.
“Anak guam saya mempunyai firma guaman persendirian namun ekoran wabak Covid-19 yang melanda telah memberi kesan terhadap firma guamannya.
“Selain itu, anak guam saya bukanlah seorang flight risk (berisiko melarikan diri) kerana sebelum ini beliau telah diberi kebenaran untuk ke United Kingdom dan telah pulang ke tanah air pada waktu yang telah ditetapkan mahkamah,” katanya.
Dalam prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ishak Mohd. Yusoff tidak membantah dengan cadangan ikat jamin tersebut.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Azman kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM200,000 dengan seorang penjamin warganegara serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
“Tertuduh perlu membayar deposit sebanyak RM5,000 pada hari ini manakala bakinya perlu dibayar sebelum pukul 12 tengahari esok,” katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan 9 September depan untuk sebutan semula kes. – K! ONLINE