“Selepas menimbangkan semua keterangan, saya mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kesemua tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM 42 juta milik SRC dihadapai tertuduh.”
Itu keputusan yang dimuktamadkan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak minggu lalu.
Keputusan itu bukan sahaja membuka lembaran baharu sejarah Malaysia memandangkan Najib menjadi bekas Perdana Menteri pertama dihadapkan ke mahkamah, malah memberi gambaran mengenai keadilan sistem kehakiman negara ini.
Meskipun ada sesetengah pihak dilihat cuba mempertikaikan keputusan itu, namun kita perlu sedar akan sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan dengan mewujudkan konsep pemisahan dan pengasingan kuasa.
Mengulas mengenai keputusan itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut meminta agar semua pihak terus meletakkan kepercayaan kepada sistem perundangan serta kehakiman negara sebagai institusi yang bebas dan berkecuali.
Katanya, beliau begitu memahami perasaan dan sentimen rakan-rakan (Najib) terhadap keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah.
“Namun begitu, saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sentiasa menegakkan prinsip kedaulatan undang-undang,” katanya.
Keadaan ini sekali gus menepis dakwaan sesetengah pihak kononnya kes dihadapi seseorang tertuduh mungkin digugurkan andai kata individu terbabit mempunyai hubungan istimewa dengan parti politik memerintah.
Dalam pada itu, Ketua Kluster Tadbir Urus dan Integriti, Majlis Profesor Universiti Utara Malaysia, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, doktrin pemerintahan negara dibahagikan kepada tiga cabang utama iaitu pemerintah, perundangan serta kehakiman.
Jelasnya, setiap cabang terbabit mempunyai kuasa untuk menjalankan tugas masing-masing tanpa ada unsur campur tangan daripada badan yang lain.
“Ini bermakna keputusan dibuat oleh badan kehakiman terhadap bekas Perdana Menteri adalah berdasarkan merit kes tersebut dan ia tidak langsung melibatkan campur tangan daripada pihak pemerintah.
“Keputusan itu jelas menunjukkan bahawa proses demokrasi adalah subur di mana setiap cabang mempunyai kuasa penuh untuk membuat keputusan tanpa diganggu badan yang lain,” tegasnya.
Beliau berkata, proses undang-undang berlaku berdasarkan penetapan Perlembagaan dan ia dilaksanakan secara adil tanpa dipengaruhi unsur luar dalam menyimpulkan keputusan kehakiman.
Ujarnya, rakyat dinasihatkan menghormati keputusan itu selain perlu mengetahui bahawa peruntukkan undang-undang turut memberi ruang kepada Najib merayu di Mahkamah Rayuan.
“Andai kata Mahkamah Rayuan masih menetapkan keputusan sama, Najib masih mempunyai satu peluang terakhir untuk membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan.
“Ia berikutan, keputusan dibuat oleh hakim Mahkamah Tinggi bukanlah sesuatu yang muktamad kerana Najib masih boleh merayu di Mahkamah Rayuan dan Persekutuan,” katanya.
Justeru, rakyat perlu memahami secara terperinci sistem kehakiman negara serta mengamati ketelusan dan keadilan prinsip Demokrasi Berparlimen yang diamalkan di negara ini.