PETALING JAYA – Bekalan emas mentah di dunia dijangka habis dilombong pada tahun 2050 dan jumlah logam berkenaan yang masih belum dilombong setakat ini sekitar 20 peratus sahaja.
Pengurus Besar MS Gold Crafts Industries Sdn. Bhd. (MS Gold Crafts), Eric Leong berkata, produksi emas dunia telah mencapai paras tertinggi pada tahun 2018 dan tinggal 30 tahun lagi akan kehabisan bekalannya.
“Setakat akhir 2019, dianggarkan manusia telah mengeluarkan emas seberat 197,576 tan dari Bumi dan hanya tinggal 54,000 tan emas lagi di bawah tanah.
“Lambat laun bekalan akan kehabisan kerana emas merupakan logam yang terhasil secara semula jadi dan tidak boleh dihasilkan di makmal,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.
Selain MS Gold Crafts, Eric turut memainkan peranan selaku Pengurus Besar MS Gold Bullion Sdn. Bhd. dan MS Jewels Boutique Sdn. Bhd.
MS Gold Crafts membekalkan barang kemas berasaskan emas kepada peniaga dan kedai emas, manakala MS Gold Bullion terlibat dalam perdagangan emas berbentuk jongkong kepada pelabur dan dana.
MS Jewels pula hanya ditubuhkan sekitar dua tahun lalu untuk menjual barang kemas kepada pengguna menerusi medium online, menggunakan jenama MS Gold.
Eric berkata, ketika ini adalah masa yang terbaik untuk membeli emas meskipun harga logam berkenaan telah naik ke paras tertinggi dalam sejarah minggu lalu iaitu menghampiri RM300 segram.
Ujarnya, menjelang akhir tahun, harga emas diunjurkan mencecah AS$2,500 (RM10,598) satu auns atau RM345 segram.
“Nilai emas akan terus meningkat kerana berdasarkan data daripada Majlis Emas Dunia, produksi emas dunia telah mencapai paras tertinggi pada tahun 2018 dan logam berkenaan akan habis dilombong pada 2050,” ujarnya.
Menurut Eric, bagi tujuan pelaburan, individu perlu menyasarkan pembelian jongkong emas pada berat sekurang-kurangnya 100 gram.
Katanya, ini kerana jika seseorang membeli jongkong emas seberat lima gram daripada syarikatnya dan kemudian menjualnya semula pada hari yang sama, mereka mungkin kerugian antara 10 hingga 20 peratus.
“Ia berbeza dengan kerugian hanya dua hingga tiga peratus untuk jongkong seberat 100 gram.
“Tak rugi sebenarnya sekiranya membeli jongkong emas bersaiz kecil, cuma masa yang lebih lama diperlukan untuk membuat keuntungan. Sama seperti membeli barang kemas untuk perhiasan,” ujarnya.
Kosmo! keluaran pertama selepas diterbitkan semula pada 20 Julai lalu melaporkan peminat emas di seluruh negara ‘menyerbu’ kedai-kedai emas dan dalam tempoh dua bulan sahaja sejak Mei lalu, hasil jualan melibatkan 1,500 peniaga dianggarkan mencecah RM1 bilion.
Pada 28 Julai lalu, Kosmo! juga melaporkan emas semakin menjadi kegilaan orang ramai apabila permintaan terhadap barang kemas itu meningkat luar biasa selepas harganya dijangka terus meningkat melebihi RM300 segram.