Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED
KUALA LANGAT – Seorang bayi perempuan masih bernyawa ditemui dalam satu bungkusan kain batik di tepi Jalan Benteng, Pantai Kelanang di sini Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, bayi malang yang telah hilang tali pusat itu ditemukan pukul seorang pemancing berusia 29 tahun di kawasan tersebut pada pukul 12.05 tengah malam.
“Terkejut dengan penemuan tersebut lelaki itu segera membawa bayi itu ke Balai Polis Banting untuk tindakan lanjut.
“Bayi tersebut kemudian dihantar polis ke Hospital Banting bagi menerima rawatan lanjut dan dilaporkan kini berada dalam keadaan stabil,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Azizan menambah siasatan awal mendapati bayi itu dipercayai baru dilahirkan selama beberapa hari sebelum diletakkan di kawasan tersebut.
Ujarnya, usaha mengesan suspek kini sedang dijalankan termasuk menyemak dengan mana-mana hospital berhubung kelahiran tersebut.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor K Yusheindran di talian 014-9653084 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di talian 03-3187 2222.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan,” katanya. – K!ONLINE