JITRA – Kira-kira 3,000 penduduk di sekitar Napoh dekat sini dijangka menjalani saringan Covid-19 susulan Kluster PUI Sivagangga di Klinik Kesihatan Napoh di sini dalam tempoh seminggu sejak 29 Julai lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Pihak Berkuasa Tempatan Kedah, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman berkata, kesemua penduduk yang membuat saringan terdiri daripada mereka yang mempunyai kontak rapat dan kaitan dengan kluster tersebut.
“Ramai penduduk di sekitar kawasan Napoh ini yang datang membuat saringan pada hari ini.
“Klinik kesihatan ini mampu membuat saringan antara 300 hingga 500 orang dalam masa sehari,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau proses saringan di Klinik Kesihatan Napoh dengan ditemani Timbalan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Deputi Superintendan Chien Chunng Tsaur di sini hari ini.
Kata beliau, semua penduduk yang disaring dipakaikan gelang merah jambu dan dikenakan kuarantin selama 14 hari.
“Mereka perlu menjalani satu lagi saringan pada hari ke-13 untuk mendapatkan keputusan,” ujarnya.
Sementara itu, kata beliau, Klinik Kesihatan Kodiang dekat sini akan dibuka untuk proses saringan pada esok.
“Kita meminta seramai 245 penduduk di Kampung Megat Dewa di Kodiang yang dikesan mempunyai kaitan dengan kluster itu untuk membuat saringan,” katanya.
Beliau pada masa sama meminta penduduk yang dipakaikan gelang merah supaya mematuhi arahan kuarantin dengan tidak keluar dari rumah. – K! ONLINE