fbpx

2,484 laman lucah disekat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 2,484 laman sesawang berunsur lucah dan pornografi dari 2018 hingga kini telah berjaya disekat oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, SKMM juga sudah membuka 125 kertas siasatan dan mendakwa lima individu kerana terbabit dengan penyebaran kandungan lucah, sejak 2018 hingga Jun lalu.

Jelasnya, SKMM akan terus melakukan pemantauan dan bersedia menyekat akses ke mana-mana laman sesawang atau platform media sosial lain termasuk Facebook, Instagram dan sebagainya jika didapati memaparkan kandungan berunsur lucah dan pornografi.

“Kami juga turut menggalakkan ibu bapa supaya memuat naik aplikasi dan perisian kawalan kendiri seperti ‘Parental Control Tool’ bagi membantu ibu bapa memantau dan menyaring kandungan yang diakses oleh keluarga terutama anak-anak mereka bagi mengelakkan penularan kandungan tidak diingini.

“Terdapat banyak perisian dan aplikasi sudah diperkenalkan sama ada secara percuma atau berbayar, malah, ketika ini terdapat berjuta aplikasi dan perisian digunakan ibu bapa di seluruh dunia untuk memantau dan menyekat kanak-kanak daripada mengakses capaian berunsur lucah, bahan pornografi dan tidak baik,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (Bachok-Pas) yang ingin tahu tentang sejauh mana usaha yang telah diambil bagi mengekang sebarang aktiviti laman sosial yang mempromosi kelakuan songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) serta budaya pornografi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI