KUALA LUMPUR – Keadaan trafik di beberapa lebuh raya utama mulai sesak berikutan orang ramai sudah mula bergerak dari kampung halaman masing-masing selepas sambutan Aidiladha.
Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, setakat pukul 10.30 pagi tadi,trafik mulai perlahan di beberapa kawasan sepanjang Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS).
“Trafik mulai perlahan di kawasan Changkat Jering ke Kuala Kangsar (kawasan mendaki Bukit Berapit), hentian rehat dan rawat (R&R) Sungai Perak ke Terowong Menora dan Simpang pulai menghala ke Gopeng.
“Bagaimanapun, trafik di bahagian Selatan masih terkawal dan bergerak lancar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, trafik di Lebuh Raya Karak Kuala Lumpur (KLK), Lebuh Raya Pantai Timur 1 (LPT1) dan Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) turut perlahan di beberapa kawasan.
“Trafik mula perlahan dari R&R Genting Sempah ke Terowong Genting Sempah arah Barat, sebelum Plaza Tol Bentong arah Barat, dan sebelum Plaza Tol Karak arah Barat,”katanya.- K! ONLINE.