fbpx

Sinergi Luqman, Wan Ahmad Kuzri perkuatkan skuad B-19 Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WAN AHMAD KUZRI (kiri) dan Luqman bakal berlatih bersama pada kem latihan pusat fasa 2 pasukan B-19 di Padang Wisma FAM, Kelana Jaya hari ini.

GANDINGAN dua pemain skuad bawah 19 (B-19) negara, Wan Ahmad Kuzri Wan Ahmad Kamal dan Luqman Hakim Shamsudin pada kem latihan pusat fasa 2 pasukan B-19 yang akan bermula esok di Padang Wisma FAM, Kelana Jaya sememangnya dinanti-nantikan.

Pengurus skuad B-19 negara, Datuk Kamarul Ariffin Mohd. Shahar berkata, kelibat Wan Kuzri yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) dan Luqman sebagai pemain bola sepak remaja No. 1 negara bakal memberi bisa tersendiri pada sesi latihan nanti.

“Saya pasti ramai peminat bola sepak negara cukup teruja apabila kedua-dua pemain ini berada dalam senarai 30 pemain skuad B-19 yang akan memulakan sesi latihan fasa 2 pada Isnin nanti (esok).

“Seperti yang kita tahu, Wan Kuzri tidak jadi pulang ke AS kerana dia cukup gembira untuk kekal dan menjalani sesi latihan bersama skuad B-19 negara.

“Luqman pula mahu disenaraikan kali ini sebelum terbang menyertai kelabnya di Belgium, K.V. Kortijk dan kita akan dapat lihat potensi sebenar kedua-dua pemain ini apabila mereka digandingkan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.

Sebagai rekod, Luqman yang sebelum ini mewakili skuad Selangor II sangat selesa dengan posisi penyerang atau tengah menyerang (No. 10), manakala Wan Kuzri lebih gemar berada di posisi tengah bertahan (No. 6).

Mengulas lanjut, Kamarul percaya bakat yang dimiliki oleh Wan Kuzri sangat istimewa dan beliau dipilih untuk berada dalam pasukan sepenuhnya berdasarkan merit.

“Kita memang sedia maklum keistimewaan bakat yang dimiliki oleh Luqman, namun Wan Kuzri juga memiliki bakat tersendiri dan ia terbukti pada sesi latihan sebelum ini.

“Dia berjaya memikat barisan kejurulatihan dan kami tidak memilih Wan Kuzri sebab dia pemain berpangkalan di luar negara atau statusnya sebagai adik kepada Timbalan Menteri Belia Dan Sukan (Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal),” katanya.

Skuad kendalian Brad Maloney akan memulakan latihan bermula esok hingga 30 Ogos sebagai persediaan bagi menghadapi Kejuaraan AFC B-19 yang akan berlangsung di Uzbekistan pada Oktober depan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI