RUTIN harian Che Madzlan Mir bermula kira-kira pukul 7 pagi dengan merebus ikan sepat yang ditangkapnya pada hari sebelumnya. Kebiasaannya, dia beroleh hasil tangkapan ikan itu sebanyak satu setengah kilogram (kg).
Usai merebus, dia akan menggaul ikan air tawar itu dengan tanah liat yang diambil di kawasan berhampiran rumahnya di Kampung Cherang Melintang, Tumpat, Kelantan.
Petua campuran ikan sepat dengan tanah liat adalah cetusan idea kenalan dari Thailand. Ini satu kaedah pembuatan umpan untuk menaikkan bau hanyir ikan bagi menarik belut masuk ke dalam tukil iaitu sejenis alat menangkap haiwan itu,” katanya ketika ditemui Panorama baru-baru ini.
Jelasnya, bau hanyir ikan sepat itu mampu tersebar kira-kira sejauh lima meter dari lokasi tukil itu diletakkan di dalam paya.
Che Madzlan memberitahu, dengan menggunakan kaedah itu dia pernah memperoleh hasil tangkapan belut sebanyak 30 kg dalam tempoh seminggu terutamanya pada musim tengkujuh.
Che Madzlan atau lebih selesa disapa dengan panggilan Abe Lan ialah seorang pencari belut dari Kampung Cherang Melintang yang menjadikannya sumber mata pencarian untuk menyara keluarga sejak enam tahun lalu.
Jelasnya, dalam tempoh itu, dia menggunakan kudratnya sendiri untuk menghasilkan 100 buah tukil yang diperbuat daripada paip polivinil klorida (PVC) sepanjang 3 meter.
“Sebelum ini, tukil diperbuat daripada buluh. Kekangan menggunakan buluh adalah lebih berat dan penangkap belut tidak boleh membawa banyak tukil untuk dipasang di kawasan paya pada satu-satu masa.
“Kebiasaannya, selain paip PVC, rautan buluh halus juga digunakan sebagai injap. Ini berfungsi memberi pengudaraan kepada belut apabila terperangkap di dalam tukil. Alat tersebut juga memerangkap belut bersaiz sederhana,” katanya.
Menurut lelaki berusia 41 tahun itu, tukil akan diletakkan di kawasan paya, sawah padi, lubuk atau lombong yang mempunyai lumpur kerana di situ adalah habitat belut.
Ceritanya, selain Kampung Cherang Melintang, dia juga sering meletakkan tukil di beberapa kawasan lain di sekitar daerah Tumpat dan Kota Bharu seperti di Bunut Susu, Gelang Mas, Pasir Pekan dan Dewan Beta.
Dia memberitahu, sekiranya musim hujan atau tengkujuh, dia mampu memperoleh hasil tangkapan sebanyak 10 kg sehari, namun sekiranya tidak bernasib baik dia pernah pulang dengan tangan kosong.
“Saya dan isteri, Normadiah Abdullah, 36, terpaksa menjaja belut kerana memperoleh hasil tangkapan yang terlalu banyak pada tahun lalu. Kami pergi ke kedai makan di Tumpat dan Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu untuk menghabiskan tangkapan belut.
“Langit tidak selalu cerah. Pernah juga saya tidak memperoleh hasil tangkapan terutamanya pada musim kemarau. Sudahlah penat, hasil tangkapan pun tiada,” keluhnya.
Cabaran
Menurut Che Madzlan, sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini, dia ada menahan tukil, namun hanya memperoleh kira-kira 1 kg dan tangkapan itu hanya dijadikan lauk-pauk untuk keluarganya ekoran peraih belut dan kedai makan menutup operasi mereka.
Jelasnya, saiz yang ideal bagi belut untuk dijual kepada peraih atau kedai makan ialah sebesar ibu jari kaki dengan panjang 60 sentimeter.
Katanya, belut dengan saiz itu mempunyai isi yang lembut dan lebih mudah dipotong untuk dijadikan hidangan.
“Cabaran utama dalam penangkapan belut sudah tentu bertemu ular senduk. Saya pernah terserempak dengan reptilia itu beberapa kali. Sudahnya, saya terus pulang ke rumah. Saya tidak mahu mengambil risiko,” ujarnya.
Sementara itu, seorang peraih belut di kampung itu, Mohd. Shaibon Had, 32, berkata, kebanyakan penangkap belut menjual hasil tangkapan mereka kepadanya setiap hari.
Bagi Mohd. Shaibon yang mengambil alih perniagaan ibu dan bapanya sejak tujuh tahun lalu, belut merupakan rezeki kepada penduduk kampung.
Jelasnya, dia akan membeli belut pada harga RM20 sekilogram daripada penduduk kampung dan haiwan itu akan disimpan di dalam tangki air yang mampu menampung kira-kira 100 kg belut dalam satu masa.
“Pada musim banjir, seorang penangkap belut mampu memperoleh sebanyak 10 kg belut dan saya memerlukan satu tempat yang besar untuk menyimpannya sebelum dijual di kedai makan atau di pasar.
Selain menjual kepada peraih, Che Madzlan turut menjual hasil tangkapannya terus kepada pengusaha kedai makan di Kampung Talak, Chabang Empat Tok Mek Ngah, Tumpat.
Pemilik Kedai Makan Sup Belut Talak, Zailani Nawi,50, berkongsi cerita, pada musim hujan, dia akan membeli sebanyak 10 kg belut daripada Che Madzlan dan jumlah itu akan habis dalam tempoh beberapa jam.
Katanya, selain penduduk kampung, terdapat ramai masyarakat dari luar Tumpat datang ke kedainya hanya untuk menikmati hidangan belut.
“Selain sup, hidangan yang popular untuk memasak belut antaranya tomyam, mi segera dan paprik. Ekoran banyak permintaan, saya juga telah mencipta satu resipi baharu iaitu belut madu sebagai tambahan menu di sini.
“Ramai yang terkejut apabila saya menjual hidangan berasaskan belut itu dengan harga RM7. Harganya berbaloi dan disebabkan itu juga menu belut habis dijual hanya beberapa jam.
“Sepanjang tiga tahun membuka kedai makan, menu belut antara tarikan utama untuk menarik pelanggan. Itu saya tidak boleh nafikan. Sebagai peniaga, saya cuba sedaya upaya untuk memenuhi permintaan mereka,” katanya.