Oleh MASTURAH SURADI
KOTA TINGGI – Seorang remaja ditemui lemas ketika mandi di Tasik Paya Biru di Felda Lok Heng Selatan di sini bersama lima rakannya yang lain tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, mayat mangsa, Muhammad Akmal Hakim Abdul Karim, 19 ditemui pada pukul 12.53 tengahari di dasar tasik berkenaan.
“Kira-kira pukul 12.00 tengahari, pusat kawalan polis daerah Kota Tinggi telah menerima panggilan melalui MERS 999 dari seorang lelaki memaklumkan terdapat kejadian lemas di kawasan Tasik Paya Biru, Blok 17, Felda Lok Heng Selatan.
“Mangsa melibatkan seorang lelaki tempatan berumur 19 tahun yang datang ke paya berkenaan bersama lima rakan yang lain.
“Usaha mencari dan menyelamat dilakukan pasukan bomba sebelum berjaya menemui mangsa di dasar tasik berkenaan,”katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelas Hussin, mangsa yang tinggal di Alor Setar disahkan telah meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan Klinik Lok Heng.
Katanya, mangsa telah dibawa ke Hospital Kota Tinggi dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan oleh “Drowning”.
“Kes ini telah diklasifikasikan sebagai ‘Kematian Mengejut’ (SDR) dan tiada melibatkan apa-apa perbuatan jenayah,”katanya. -K! ONLINE