PARIS – Paris Saint-Germain (PSG) menyapu bersih empat pertandingan domestik di Perancis musim ini selepas berjaya merangkul kejuaraan Piala Liga Perancis.
Kejayaan terbaharu itu hadir selepas PSG mencatat kemenangan 6-5 ke atas Olympique Lyon menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada aksi final di Stade de France awal pagi semalam.
Ia menyaksikan PSG berjaya melengkapkan gelaran quadruple selepas memenangi tiga lagi kejohanan domestik musim ini iaitu Piala Super Perancis, Ligue 1 dan Piala Perancis.
Ketua jurulatih PSG, Thomas Tuchel amat berbangga dengan keseluruhan prestasi dipamerkan anak-anak buahnya yang masih bersaing dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini.
“Pemain berjaya mengekalkan tumpuan dan keyakinan mereka sepanjang perlawanan ini walaupun kami terpaksa mengharapkan sepakan penalti untuk menang.
“Suasana dalam bilik persalinan sangat harmoni selepas kami berjaya memenangi empat gelaran musim ini. Saya sangat gembira dengan situasi semasa kerana bukan mudah untuk memenangi kesemuanya musim ini,” katanya.
Pablo Sarabia muncul wira buat PSG selepas berjaya menyempurnakan sepakan penalti terakhir, sekali gus mengecewakan penjaga gol Lyon, Anthony Lopes yang beraksi cemerlang sepanjang aksi final awal pagi semalam.
PSG kini cuma tinggal satu pertandingan lagi untuk melengkapkan musim gemilang mereka dengan menentang Atalanta pada aksi suku akhir Liga Juara-Juara di Lisbon pada 13 Ogos ini.– AGENSI