fbpx

Perantau mula pulang ke ibu negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Trafik perlahan dari Jalan Kuala Krai - Gua Musang

Oleh AIMUNI TUAN LAH

GUA MUSANG – Jalan Gua Musang di sini mulai sesak sejak awal pagi tadi ekoran perantau dari Kelantan mula bergerak pulang ke ibu negara hari ini.

Kenderaan semakin bertambah keluar dari negeri ini sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas di sepanjang jalan tersebut.

Tinjauan Kosmo! mendapati, aliran trafik sangat perlahan dan berlaku kesesakan di Jalan Gua Musang-Kuala Krai dan Jalan Gua Musang-Kuala Lipis.

Seorang pengguna jalan raya, Mohd. Suariman Mohd. Zain, 34, berkata, mereka sekeluarga juga terperangkap dalam kesesakan ketika melalui kawasan bandar Kuala Krai menuju ke pusat bandar Gua Musang.

Katanya, rata-rata mereka mahu pulang ke Kuala Lumpur untuk bekerja esok hari selepas beraya di kampung halaman.

“Saya bertolak dari Kampung Chenulang, Kuala Krai pada pukul 9 pagi tadi untuk ke rumah ibu mentua di Gua Musang.

“Akibat kenderaan yang terlalu banyak, saya hanya tiba di bandar Gua Musang pada pukul 12.30 tengahari. Kebiasaannya, perjalanan hanya mengambil masa dua jam untuk ke Gua Musang,” katanya.

Seorang lagi perantau, Ismail Noh, 44, berkata, setiap tahun menjelang Hari Raya Aidilfitri atau Aidiladha, anak Kelantan yang pulang ke kampung halaman pasti berdepan kesesakan lalu lintas.

Katanya, kebanyakan pengguna jalan raya terperangkap dalam kesesakan dalam tempoh yang lama sehingga terpaksa menempuh perjalanan sehingga 10 jam dari Kelantan menuju ke ibu negara.

“Kami sebagai pengguna jalan raya sudah merancang perjalanan apabila bertolak pada lewat malam dan awal pagi untuk mengelak kesesakan.

“Kita sudah biasa dengan kesesakan jalan raya setiap tahun. Kita tempuh saja, asalkan dapat pulang beraya bersama keluarga di kampung,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI