Oleh NOOR HASLIZA NUSI
GEORGE TOWN – Penyanyi veteran era 1960-an, Mohd. Hashim Shariff atau lebih dikenali sebagai Rocky Din kini terlantar akibat diserang strok sehari sebelum umat Islam menyambut Hari Raya Aidiladha Jumaat lalu.
Rakannya, Omara Hashim, 66, berkata, Rocky Din yang dimasukkan ke Hospital Kepala Batas Khamis lalu telah dibenarkan keluar dari wad pada hari raya pertama.
Menurutnya, akibat serangan penyakit itu anggota sebelah kanannya tidak dapat bergerak dan terpaksa mendapatkan bantuan daripada ahli keluarga.
“Saya pergi melawatnya kelmarin dan pergerakannya kini terbatas serta perlu diangkat.
“Percakapannya juga kurang jelas dan boleh mengangguk faham apa yang kita cakap,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Omara memberitahu, ahli keluarga Rocky Din kini berusaha untuk mendapatkan rawatan susulan agar dia sembuh seperti sediakala.
Rocky Din popular dengan lagu ‘Marilah Mengundi’ sejak tahun 1978 dan masih lagi berkumandang sehingga ke hari ini ketika musim pilihan raya. – K ONLINE