fbpx

Misteri batu haiwan di Gunung Pulai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PELAWAT diberi penerangan mengenai batu gong yang ada dalam Gua Kelambu.

GUNUNG Pulai yang terletak di daerah Baling, Kedah berketinggian 620 meter dari aras laut menyimpan pelbagai khazanah alam semula jadi menarik, termasuk keunikan pembentukan 13 gua batu kapur di situ.

Antara gua batu kapur yang terdapat di situ adalah Gua Kelambu, Gua Matahari, Gua Bunian, Gua Layang-Layang, Gua Ikan, Gua Air, Gua Tembus dan Gua Tok Sheikh.

Kawasan gunung itu kini menjadi daya penarik bagi sektor pelancongan di daerah tersebut terutama bagi penggemar sukan lasak seperti aktiviti mendaki.

Di sebalik keindahan alam semula jadi di situ, tersimpan cerita misteri atau mitos yang dituturkan secara lisan sejak turun-temurun oleh penduduk tempatan.

Salah satu gua yang menyimpan pelbagai cerita misteri tetapi menarik adalah Gua Kelambu berikutan penemuan banyak bentuk batu kapur stalaktit dan stalagmit berusia ribuan tahun yang menyerupai haiwan seperti gajah, kambing gurun, penyu, kura-kura, katak dan ular.

Selain berbentuk haiwan, terdapat juga batu menyerupai wanita, bayi, mahkota, katil dan tapak kaki manusia bersaiz besar.

Seorang penduduk tempatan, Isa Che Endut, 53, berkata, sejak kecil lagi dia mendengar pelbagai versi cerita orang kampung mengenai kejadian batu-batu tersebut.

Katanya, salah satu versi menyatakan batu-batu itu kononnya terjadi akibat sumpahan Sang Kelembai yang digambarkan sebagai makhluk berbadan besar berperwatakan garang dan bengis serta tidak suka kepada suasana bising seperti keriuhan pesta.

“Sang Kelembai dikatakan mempunyai tubuh besar dan tinggi serta memiliki kuasa ajaib untuk menukarkan apa sahaja termasuk haiwan dan manusia kepada batu sekiranya marah,” katanya ketika ditemui di kaki Gunung Pulai baru-baru ini.

 

Batu berbentuk gajah yang terdapat di Gua Kelambu.

 

Sang Kelembai

Jelasnya, konon ketika Sang Kelembai melalui kawasan gua tersebut ratusan tahun dahulu, terdapat beberapa penduduk sedang meraikan suatu majlis dalam suasana bingit. Marah dengan keadaan bising tersebut, lalu Sang Kelembai menyumpah orang yang ada di situ menjadi batu berbentuk haiwan.

Cerita Sang Kelembai adalah sebahagian mitos yang mempunyai kaitan rapat dengan makhluk dan kuasa ajaib dan menjadi kepercayaan dalam masyarakat Melayu sejak zaman berzaman.

Menurut Isa lagi, terdapat juga cerita lain mengenai batu-batu yang ada dalam gua kelambu itu yang juga popular sebagai cerita rakyat oleh masyarakat di situ daripada generasi ke generasi.

Menurutnya, ada juga cerita yang mengatakan Gua Kelambu menjadi tempat persinggahan keturunan raja zaman dahulu bersama keluarga dan hulubalang.

“Di satu sudut terdapat ruang batu yang kosong menyerupai sebuah katil berkelambu dan di dalamnya ada tuan puteri dan bayi dalam pangkuannya.

“Ekoran penemuan batu berbentuk katil berkelambu itu, penduduk menamakan gua itu sebagai Gua Kelambu.

“Batu berbentuk wanita dan bayi telah rosak akibat perbuatan individu tidak bertanggungjawab,” jelasnya.

 

Beberapa pelancong melihat seketul batu yang berbentuk kura-kura ketika melawat Gua Kelambu baru-baru ini.

 

Selain itu katanya lagi, terdapat batu yang dikenali sebagai batu gong yang apabila diketuk akan mengeluarkan bunyi seakan-akan gong.

Jelasnya, diceritakan juga gua itu adalah tempat seorang datuk syah bandar dan hulubalangnya bersembunyi dan dijadikan sebagai penempatan selepas diserang musuh yang mana batu gong akan dipalu sebagai isyarat berkumpul,” ujarnya lagi.

Tambahnya, di tengah-tengah gua itu juga dikatakan ada sebuah singgahsana untuk raja bersemayam serta seketul batu menyerupai beberapa manusia yang telah ditawan, selain batu menyerupai seorang wanita yang memakai mahkota.

Seorang lagi penduduk tempatan, Abdul Karim Ahmad, 58, pula bercerita mengenai puteri bunian yang baik hati meminjamkan pinggan mangkuk dan perkakasan dapurnya kepada orang kampung.

“Setiap kali ada kenduri, orang kampung akan meminjam perkakasan tersebut bagi memudahkan mereka menyediakan juadah untuk tetamu.

“Bagaimanapun, pada suatu hari terdapat alatan yang dipinjam oleh orang kampung tidak dipulangkan menyebabkan puteri bunian enggan membenarkan barangan itu dipinjamkan lagi,” ceritanya.

 

Batu berbentuk wanita yang memakai mahkota di Gua Kelambu.

 

Sementara itu, Bendahari Persatuan Industri Pelancongan Daerah Baling, Siti Nur Fatihah Yahaya, 23, berkata, cerita-cerita mitos itu adalah sebahagian daripada daya penarik untuk menarik pelancong ketika menjelajah 13 gua di kaki Gunung Pulai.

“Ia merupakan selingan sebagai hiburan penceritaan mitos dan kepercayaan nenek moyang kita,” katanya.

———————————————————————————————————————————————————————————————————————————–
Artikel ini diambil daripada kepercayaan masyarakat di sesuatu tempat sejak zaman-berzaman bertujuan untuk pendidikan dan bukan menggalakkan kepercayaan karut atau tahyul..

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI