MILAN – Sebuah akhbar di Itali melaporkan bahawa langkah Inter Milan memburu khidmat Lionel Messi bukanlah suatu yang dianggap fantasi kerana kelab itu mampu untuk membayar gaji pemain itu berjumlah €50 juta (RM249.74 juta) semusim.
Kontrak Messi bakal berakhir di Camp Nou dalam tempoh semusim sahaja lagi dan pemain itu dikatakan kecewa dengan sikap pihak pengurusan pasukan selain jurulatihnya yang silih berganti.
Menurut akhbar La Gazzetta dello Sport yang berpusat di Milan, Inter mampu untuk mengemukakan tawaran selumayan itu dan membelanjakan sebanyak €260 juta (RM1.29 bilion) untuk kontrak selama empat musim.
Bagaimanapun, ia bukanlah satu petanda bahawa perancangan itu bakal menjadi kenyataan walaupun Inter yang dimiliki oleh Konsortium Suning dari China yang cukup kaya kerana Barcelona tidak mungkin akan melepaskan pemain tonggaknya semudah itu.
Melalui proses penajaan baharu yang bakal diterima Barcelona musim depan serta Peraturan Kewangan Adil (FFP), harapan Inter untuk mendapatkan Messi pastinya sangat tipis walaupun masih berpeluang.
Khabar angin mengaitkan Messi ke Inter tersebar selepas bapa pemain berkenaan membeli sebuah rumah di Milan sebelum ini, tetapi sebenarnya ia adalah langkah bijak yang diambil oleh pemain itu membeli hartanah di Itali kerana pengecualian cukai diberikan kepada pelabur dari luar negara. – AGENSI