fbpx

Cuma terima token Aidiladha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
YUSRI mahu anak-anak buahnya merantai pergerakan Casagrande yang dilihat boleh membahayakan gawang skuad TRW malam ini. - SUHAIRIENOR PHOTOGRAPHY IS ART

Yusri bimbang situasi semasa jejas moral para pemain

BUKAN sahaja gagal menyelesaikan masalah tunggakan gaji yang sudah berlarutan lebih empat bulan, bahkan bayaran gaji separuh bulan juga tidak mampu ditunaikan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

Ketua Jurulatih The Red Warriors (TRW), Yusri Che Lah tanpa berselindung mengakui pemain serta pegawai termasuk dirinya hanya meraikan sambutan Hari Raya Aidiladha kali ini dengan penuh kesederhanaan.

Ia disebabkan permohonan­nya agar kepimpinan KAFA membayar sekurang-kurangnya separuh bulan gaji kepada mereka tidak dapat dipenuhi, sebaliknya hanya menerima token yang jumlah mungkin tidak mencukupi buat perbelanjaan.

Terdahulu, ketua pasukan Kelantan, Farisham Ismail meluahkan kekecewaan terhadap kepimpinan badan induk bola sepak Kelantan itu menerusi laman instagram miliknya mengenai masalah sama.

“Saya perlu jujur dan tidak mahu menyinggung perasaan mana-mana pihak. Apa yang disuarakan pemain (Farisham) adalah disebabkan gaji tertunggak meskipun sudah dijanjikan bayaran oleh pihak pengurusan.

“Memang ada bayaran tetapi hanya token, namun saya tidak boleh dedah berapakah jumlah yang diterima. Mungkin atas sebab itu pemain-pemain meluahkan perasaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.

Tambah Yusri, sebelum memulakan latihan 22 Julai lalu, beliau ada mengadakan run­dingan dengan pihak pengurusan berhubung bayaran gaji sebagai sokongan moral kepada pemain serta jurulatih.

“Saya ada berbincang mengenai bayaran gaji tetapi mungkin pengurusan tidak dapat beri sebulan penuh. Saya beritahu mereka jika tidak dapat penuh, separuh pun jadilah,” luahnya.

Bekas pemain Perlis dan dan Selangor itu turut menyuarakan kebimbangan pemain-pemain tidak mampu beraksi sepenuh hati sebaik sahaja saingan Liga Premier kembali bersambung bulan ini.

“Sudah pasti saya bimbang, mustahil untuk katakan saya menaruh sepenuh kepercayaan agar pemain beraksi sepenuh tenaga kerana saya tahu pemain-pemain berada dalam keadaan cukup kecewa sekarang.

“Harapan saya sekarang adalah agar ada perkhabaran gembira daripada pihak pengurusan sebelum saingan liga kembali bersambung. Saya harap pemain boleh cuba berikan aksi terbaik,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI