BRNO – Pelumba pasukan Repsol Honda, Alex Marquez mengakui sudah mula mendapat rentak untuk bersaing pada Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim ini selepas mengharungi dua saingan Grand Prix (GP) dengan positif bulan lalu.
Sebagai rekod, Alex telah dinaikkan pangkat oleh pasukan Repsol Honda untuk sertai saingan MotoGP daripada kancah Moto2 buat pertama kali tahun ini dan berjaya meraih kedudukan kelapan pada GP Andalusia.
Aksi yang dipamerkan oleh pelumba berusia 24 tahun itu sangat positif memandangkan dia hanya sekadar meraih kedudukan ke-21 pada perlumbaan debut di GP Sepanyol.
Menurut Alex, prestasinya pada dua GP sebelum ini cukup baik bagi pelumba yang baru pertama kali bersaing dalam saingan perdana itu tetapi tidak bermakna dia boleh mendabik dada.
“Saya berpuas hati dengan perlumbaan lepas kerana berjaya berada dalam kelompok 10 pelumba terbaik. Namun, saya tidak boleh berpuas hati dan perlu berusaha lebih keras pada GP seterusnya di Brno, Republik Czech.
“Secara peribadi, saya berada dalam keadaan bersedia tetapi apa sahaja boleh berlaku. Apa yang pasti, litar Brno adalah salah satu litar kegemaran saya,” katanya.
Sementara itu, ketua pasukan Honda, Alberto Puig percaya anak buahnya itu akan lebih menyerlah dan tidak mustahil dapat mengisi kekosongan abang kandungnya, Marc Marquez yang masih dibelenggu kecederaan. – AGENSI