TANGGAL 1 Ogos 2020 menjadi tarikh istimewa buat penari dan pelakon, Alam Wakaka apabila selamat mengikat tali pertunangan bersama seorang gadis berasal dari Segamat, Johor, Nurul Alisya Najwa Hazman, 19.
Hanya dihadiri keluarga dan sahabat terdekat, majlis yang berlatarkan rona putih tersebut berlangsung dalam suasana penuh kesederhanaan dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sebagaimana yang diarahkan kerajaan sepanjang pandemik Covid-19.
Alam atau nama sebenarnya Haslam Abdul Rahman, 34, yang sebelum ini pernah bergelar peserta program realiti tarian, So You Think You Can Dance musim pertama 2009 itu bersyukur kerana setiap perancangan berjalan lancar.
“Ikut perancangan kami akan melangsungkan pernikahan sekitar Mac tahun depan, jadi ada enam bulan lagi,” katanya yang memilih pengurus pemasaran jenama kosmetik sebagai calon isteri.
Menyempurnakan pertunangannya, Alam menyerahkan lima dulang hantaran berbalas tujuh daripada tunangnya termasuk cincin, telekung, sejadah, buah-buahan, manisan dan sirih junjung. Pihak perempuan pula membalas barangan seperti senaskah al-Quran, coklat dan sejadah.
Pelakon yang pernah membintangi filem Sayang You Can Dance dan drama realiti, Alam’s Story tujuh tahun lalu itu berharap perhubungannya diberkati Tuhan. K! ONLINE