CADIZ, Sepanyol – Pengarah Urusan Yamaha Motor Racing, Lin Jarvis mencetuskan suasana panas apabila melakukan provokasi terhadap pelumba Repsol Honda, Marc Marquez.
Jarvis berkata, era kegemilangan juara enam kali MotoGP itu bakal berakhir selepas menyaksikan pelumba Petronas Yamaha Sepang Racing, Fabio Quartararo memenangi dua perlumbaan berturut-turut.
Justeru, Jarvis berpendapat gandingan Quartararo dan Maverick Vinales bersama pasukan Monster Energy Yamaha musim depan mampu menamatkan dominasi yang dilakar Marquez bersama Honda sebelum ini.
“Segala yang bermula pasti ada penamatnya. Misi kami selepas ini adalah untuk memastikan pelumba-pelumba kami mengambil alih takhta tersebut.
“Saya akui Marquez adalah satu-satunya pelumba yang mampu ‘menjinakkan’ jentera Honda kerana dia sangat berbakat dan tidak mudah mengaku kalah,” kata Jarvis.
Tambah beliau, meskipun sukar untuk mengawal ego dua pelumba terbaik pada musim depan, namun Jarvis mengakui ia baik untuk pasukan dalam usaha mereka memecah dominasi Honda.
“Dalam sukan ini, anda perlu kawal ego serta permintaan pelumba. Saya akui ia bukan perkara mudah tetapi saya lebih rela memiliki dua pelumba terbaik berbanding hanya mengharapkan seorang pelumba sahaja,” ujarnya. – AGENSI