fbpx

Wanita Orang Asli sakit diusung 300 meter naiki helikopter

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota Unit Udara JBPM bersama penduduk mengusung wanita Orang Asli yang sakit di Kampung Tendrik, Pos Bihai, Gua Musang untuk menaiki helikopter.
Amoi dipantau petugas kesihatan di dalam helikopter berkenaan.

 

Oleh AIMUNI TUAN LAH

GUA MUSANG – Seorang wanita Orang Asli yang diserang demam panas dan asma di Kampung Tendrik, Pos Bihai di sini hari ini terpaksa diusung sejauh 300 meter untuk menaiki helikopter bagi mendapatkan rawatan di Hospital Gua Musang.

Wanita itu, Amoi Angah, 58, diusung ke lokasi pendaratan helikopter Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melalui laluan jalan balak yang berselut.

Pegawai Perhubungan Awam Pangkalan Udara JBPM Subang, Mohd. Farhan Marzuki berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Gombak pada pukul 10 pagi tadi berhubung pesakit wanita Orang Asli itu.

Beliau berkata, kru pesawat Agusta Westland 139 berlepas dari Pangkalan Udara Bertam, Pulau Pinang pada pukul 1.47 petang dan mendarat di Kampung Tendrik pukul 2.35 petang.

“Sebaik sahaja berjaya mendarat di kampung itu, kami melihat keadaan jalan balak untuk ke rumah pesakit terbabit yang rosak teruk dan berselut.

“Anggota kami dengan bantuan orang kampung terpaksa meredah jalan balak untuk mengusung pesakit menaiki helikopter untuk mendapatkan rawatan lanjut di hospital,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

Mohd. Farhan berkata, mereka mendarat dengan selamat di pekarangan Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang pada pukul 2.55 petang.

Katanya, pesakit turut diiringi adik lelakinya, Isan Angah, 19, dan menaiki jentera disediakan JBPM untuk dikejarkan ke Hospital Gua Musang.

“Kami sentiasa bersedia menjalankan amanah meskipun tidak dapat menyambut kemeriahan Hari Raya Aidiladha bersama keluarga,“ katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI