KUALA LUMPUR – Konflik serangan buaya terhadap manusia dikatakan berpunca daripada pertambahan bilangan populasi reptilia pembunuh itu selain sikap manusia itu sendiri.
Pengarah Zoologi, Hospital Veterinar dan Pusat Konservasi Panda Gergasi, Dr. Mat Naim Ramli berkata, kebanyakan serangan buaya terhadap manusia berpunca daripada sikap manusia yang mengambil mudah terhadap keselamatan diri sewaktu berada di persekitaran dihuni buaya.
Selain itu, kekurangan sumber makanan akibat pertambahan populasi turut menjadi faktor haiwan itu bertindak agresif.
Jelasnya lagi, perebutan habitat antara buaya jantan dan betina juga menjadi sebab reptilia itu memasuki kawasan yang dihuni manusia.
“Buaya boleh menyerang manusia jika reptilia itu berasa terancam selain melihat kita sebagai sumber makanannya.
Inilah konflik yang dimaksudkan, lebih-lebih lagi dengan peningkatan populasinya menyebabkan reptilia itu semakin kekurangan sumber makanan.
“Ia turut didorong oleh kegiatan manusia yang tinggal di kawasan berhampiran sungai.
“Oleh itu, penduduk yang tinggal di kawasan berkenaan lebih waspada termasuk membuat pelantar yang tinggi bagi membolehkan mereka mencuci baju di kawasan tebing, sekali gus mengelak daripada menjadi mangsa serangan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Justeru katanya, pihak berwajib perlu mengawal populasi buaya agar ia tidak menjadikan manusia sebagai sumber utama makanan.
“Apa yang penting ialah bagaimana untuk manusia mengelak daripada diserang reptilia itu.
“Mereka juga perlu berhati-hati setiap masa apabila memasuki habitat buaya,” ujarnya. – K! ONLINE