Oleh NUR ANATI JUHARI
ALOR SETAR – Pemilik sebuah pasar raya di pekan Pokok Sena dekat sini menyambut baik pemakaian pelitup muka kerana ia menjamin keselamatan pelanggannya.
Tan Soon Kunn, 52, berkata, dia sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan yang ditetapkan kerajaan.
“Saya akan memastikan SOP seperti pemakaian pelitup muka, pemeriksaan suhu badan dan menulis maklumat diri di buku dipatuhi,” katanya ketika ditemui di pasar raya tersebut di sini hari ini.
Katanya, pelanggan yang tidak memakai pelitup muka sama sekali tidak dibenarkan masuk ke premisnya.
Pelanggan, Sobani Shuib, 49, pula berkata, keselamatannya sebagai seorang pelanggan pasti lebih terjamin apabila pemilik pasar raya mengambil perhatian serius tentang pematuhan SOP.
“Saya menyambut baik arahan wajib memakai pelitup muka ini terutama ketika kes Covid-19 meningkat.
“Walaupun terpaksa mengeluarkan wang untuk membeli pelitup muka pakai buang, ia sangat berbaloi untuk keselamatan diri dan semua,” ujarnya.
Katanya, dia bagaimanapun melihat masih ada yang tidak mengambil serius dengan arahan itu dan berharap orang ramai dapat mematuhi SOP yang ditetapkan demi keselamatan semua. – K! ONLINE