BERMULA hari ini, rakyat Malaysia diwajibkan memakai pelitup muka apabila berada di kawasan umum.
Arahan tersebut telah diumum oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri pada minggu lalu ekoran jumlah kes jangkitan Covid-19 baharu dalam kalangan warganegara semakin meningkat.
Namun, masih terdapat segelintir masyarakat yang berdegil tidak mahu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan seperti pemakaian pelitup muka di tempat-tempat awam.
Ada yang berpendapat tiada keperluan untuk memakai pelitup muka kerana menganggap negara sudah semakin pulih daripada penularan wabak pandemik tersebut.
Bagaimanapun, baru-baru ini Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah mendedahkan seorang wanita yang positif Covid-19 adalah berpunca daripada pemakaian pelitup muka jenis fabrik.
Siasatan awal KKM mendapati pelitup muka yang dipakai mereka adalah jenis fabrik bukan untuk kegunaan perubatan.
Ketika ini, terdapat sesetengah peniaga seperti berlumba-lumba menjual pelitup muka fabrik dengan harga mahal, malah ada juga yang memakainya semata-mata ingin berfesyen kerana rekaan yang unik dan kreatif.
Hal ini diyakini berlaku kerana masyarakat khususnya di negara ini masih keliru dengan jenis pelitup muka yang sepatutnya mereka gunakan sewaktu dunia di serang Covid-19 ketika ini.
Menurut Pakar Perubatan, Datuk Seri Dr. Zulkornain Ahmad, pemakaian pelitup muka jenis kain tidak mampu menapis virus atau udara yang kotor berbanding pelitup muka tiga lapisan seperti yang disarankan Kementerian Kesihatan Malaysia.
Katanya, terdapat juga golongan yang menganggap pemakaian pelitup muka fabrik lebih menjimatkan kerana boleh dibasuh dan dipakai berulang kali berbanding jenis tiga lapisan.
“Jangan disebabkan pelitup muka kain lebih cantik dan ingin berjimat, kita terus memakainya tanpa memikirkan risikonya.
“Justeru, rakyat Malaysia disarankan untuk memakai pelitup muka tiga lapisan yang telah terbukti kajiannya terutama pada musim Covid-19 ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Ujarnya, walaupun perlu menambah kos untuk membeli pelitup muka tiga lapisan, namun ia perlu dilakukan sehingga Malaysia bebas Covid-19.
“Keputusan kerajaan menurunkan harga jualan dilihat langkah yang baik bagi menggalakkan pemakaian pelitup muka dalam kalangan rakyat di negara ini,” katanya.
Sementara itu, pereka fesyen, Bon Zainal berpendapat, pertambahan jumlah kes jangkitan Covid-19 adalah berpunca daripada kelalaian rakyat Malaysia dan tidak sepatutnya menyalahkan pemakaian pelitup muka jenis fabrik.
“Tidak kisahlah pelitup muka itu mempunyai berapa lapisan sekali pun, tetapi jika rakyat Malaysia terus lalai dan langgar SOP, kes akan tetap meningkat.
“Tindakan menghentam pereka fesyen yang menghasilkan pelitup muka jenis fabrik adalah salah, kerana setiap darinya menepati piawaian yang telah ditetapkan kerajaan,” ujarnya.