NEW YORK – Enam bulan selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan darurat global, virus Covid-19 telah menjangkiti lebih 17 juta orang di seluruh dunia.
WHO memberi amaran kelmarin bahawa golongan belia ‘tidak kebal’, malah mereka menularkan virus di banyak tempat yang sebelum ini berjaya membendung Covid-19.
“Peningkatan kes koronavirus di sesetengah negara berpunca daripada golongan belia yang alpa,” kata ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus.
Covid-19 juga membunuh lebih 668,000 orang dan memaksa kerajaan-kerajaan di dunia cuba mengimbangkan antara menyelamatkan nyawa manusia dan mencegah keruntuhan ekonomi.
Cabaran tersebut paling ketara kepada Amerika Syarikat (AS) yang menjadi negara paling teruk terjejas akibat Covid-19.
AS mencatatkan kemerosotan ekonomi 9.5 peratus pada suku kedua tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu sekali gus angka terburuk negara itu.
Sekiranya situasi tersebut berlarutan hingga hujung tahun ini, ekonomi AS akan merosot hampir 32.9 peratus, demikian menurut unjuran rasmi.
Penguncupan bersejarah turut direkodkan di Jerman (10.1 peratus), Belgium (12.2 peratus),
Austria (10.7 peratus) dan Mexico (17 peratus).
Di serata dunia, banyak syarikat turut terjejas termasuk Volkswagen, Shell, Lloyds dan Panasonic melaporkan kerugian besar.
Dalam perkembangan sama, kes harian global kini menghampiri angka 300,000, manakala lengkungan koronavirus tiada tanda-tanda akan rata.
Sehingga kini, sejumlah satu juta kes Covid-19 direkodkan di seluruh dunia dalam masa hanya 100 jam.
AS mencatatkan 1,379 kematian baharu dalam masa 24 jam setakat sebelum pukul 8.30 malam kelmarin (waktu tempatan) serta 72,238 jangkitan baharu.
Di Jepun, pihak berkuasa Tokyo mengarahkan restoran, bar dan premis karaoke ditutup lebih awal selepas ibu kota Jepun itu merekokan jangkitan baharu tertinggi.
Mexico pula muncul negara paling teruk terjejas dari sudut kematian apabila negara itu merekodkan lebih 46,000 kes kematian.
Di Australia, 723 orang positif jangkitan koronavirus kelmarin di negeri Victoria sahaja, jauh lebih tinggi berbanding 549 kes di seluruh negara itu yang direkodkan pada Isnin lalu. – AFP