PIHAK Pengurusan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menzahirkan kekecewaan selepas perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) bagi saingan Grand Prix (GP) Malaysia tahun ini dibatalkan.
Pembatalan itu diumumkan oleh pemilik hak komersial sukan permotoran berkenaan, Dorna Sports semalam selepas mengambil kira situasi pandemik Covid-19 yang masih belum pulih.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIC, Azhan Shafriman Hanif mengakui kecewa dengan keputusan tersebut, namun akur kerana enggan mengambil risiko terhadap kesihatan semua pihak.
“Kami sangat kecewa dengan pembatalan ini kerana kami sudah tidak sabar untuk menyaksikan pelumba negara seperti Kasma Daniel Kasmayudin, Khairul Idham Pawi dan Hafizh Syahrin Abdullah beraksi di tanah air sendiri.
“Selain itu, pasukan Yamaha Petronas Sepang Racing Team (SRT) juga bermula garang bagi saingan musim ini. Bagaimanapun, wabak Covid-19 masih belum pulih, jadi kita tidak boleh ambil risiko,” katanya menerusi kenyataan rasmi SIC semalam.
Pada masa sama, beliau berharap seluruh rakyat Malaysia terus memberikan sokongan terhadap pelumba negara dalam baki saingan musim ini selain berharap untuk kembali menggegarkan saingan tahun depan.
“Saya tahu ini adalah berita sedih untuk seluruh peminat MotoGP di Malaysia dan seluruh dunia. Buat masa ini, teruskan sokongan anda kepada pelumba negara yang masih bersaing musim ini,” ujarnya.
Sebagai rekod, ini adalah kali pertama GP Malaysia dibatalkan selepas lebih 20 tahun penganjurannya di SIC.
GP Malaysia yang sepatutnya berlangsung di Sepang 30 Oktober hingga 1 November depan menjadi senarai terbaharu dibatalkan selepas GP America, GP Argentina dan GP Thailand. – K! ONLINE