Ujian darah dapati lima pemain disahkan negatif Covid-19
SEMUA pemain Kuching FA tetap bersemangat tinggi untuk beraksi pada saingan Liga Premier musim ini meskipun telah ‘diserang’ wabak Covid-19 baru-baru ini.
Setiausaha Kuching FA, Iswandi Ali Hassan menjelaskan, mereka tidak berhajat menarik diri daripada kancah Liga Malaysia (Liga M) musim ini tetapi bersedia dengan sebarang arahan dan tindakan daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
“Alhamdulillah, ada perkembangan baik tetapi pada masa sama kami juga bimbang dengan persekitaran dan keadaan semasa. Tipulah kalau tiada perasaan takut sebab kita tidak nampak simptom (Covid-19).
“Kami bukan mahu tarik diri sebenarnya sebab kami masih bersemangat untuk bermain. Maksud saya sebelum ini adalah Kuching FA sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Seorang pemain Kuching FA sebelum ini dilaporkan positif Covid-19 yang diklasifikasikan daripada Kluster Hospital Sentosa minggu lalu sebelum empat lagi rakan sepasukannya dikatakan turut ‘diserang’ pandemik tersebut kelmarin.
Bagaimanapun, Kuching FA mendapat berita gembira apabila ujian darah kelima-lima pemain itu kemudiannya disahkan negatif Covid-19 dan mereka semua kini dikuarantinkan di Kompleks Belia dan Sukan Sarawak, Kuching.
“Perkembangan mereka berlima akan dipantau pihak hospital. Cumanya mereka masih perlu menunggu keputusan daripada beberapa ujian darah lagi selepas ini.
“Alhamdulillah, semua pemain dan pegawai yang lain negatif. Kini kami menunggu ujian calitan kedua pada 4 hingga 6 Ogos ini. Selepas itu barulah kami akan membuat apa-apa keputusan,” jelas Iswandi.
Situasi semasa Kuching FA pastinya menjejaskan perancangan dan persiapan kelab dari Borneo itu menjelang aksi Liga Premier yang akan bersambung semula 26 Ogos ini menentang Selangor II. – K! ONLINE