Toyota Corolla sudah menjangkau usia 54 tahun. Kereta rakyat Jepun yang mula diperkenalkan pada 5 November 1966 itu dianggap sebagai model paling sporty pada zamannya dengan reka bentuk badan separa fastback dengan bumbung melengkung.
Model generasi pertama Corolla menerima sentuhan Tatsuo Hasegawa, seorang pereka pesawat semasa era Perang Dunia Kedua. Jurutera itu menjadi terkenal kerana berjaya menyatukan konsep aerodinamik pesawat ke dalam reka bentuk kenderaan.
Nama Corolla sebenarnya diilhamkan daripada struktur bunga iaitu korola yang membawa maksud himpunan petal. Toyota memilih nama itu kerana mahu menonjolkan imej sebuah kereta kompak yang cantik dan menarik perhatian ramai.
Rangkaian model Corolla berkembang daripada pengenalan varian sedan dua dan empat pintu kepada Corolla versi wagon serta kenderaan pelbagai guna (MPV) kompak yang dipanggil Spacio (di Jepun) atau Verso (di sesetengah negara lain).
Corolla merupakan rangkaian model kenderaan keluaran Toyota paling laris di dunia selepas mencatat jualan terkumpul 48 juta unit sejak mula diperkenalkan. Data ini merangkumi jumlah jualan di lebih 150 buah negara termasuk Malaysia.
Gergasi automotif Jepun itu meneruskan momentum untuk menjadikan Corolla relevan mengikut peredaran zaman termasuk pengenalan beberapa versi naik taraf dan model generasi baharu.
Terbaharu, Toyota memilih Thailand sebagai platform pelancaran global model kenderaan utiliti sukan (SUV) terbaharu yang dipanggil Corolla Cross. Ini adalah SUV pertama dalam keluarga Corolla.
Langkah memperkenalkan model Corolla Cross dilihat sebagai satu strategi tepat pada masanya kerana segmen SUV menunjukkan trend peningkatan signifikan dalam tempoh sedekad.
Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) menerusi laporannya pada tahun lalu menyatakan terdapat lebih 200 juta kenderaan SUV di atas jalan berbanding 35 juta unit pada 2010.
Percaya atau tidak, SUV menjadi pilihan ramai orang muda dan mereka yang berkeluarga kecil sebagai medium pengangkutan harian di bandar atau ke pejabat.
Tidak ramai menjadikan SUV sebagai kenderaan kembara di laluan balak atau menyertai eksplorasi hujung minggu walaupun ada beberapa model sudah menggunakan sistem pacuan empat roda. Pendek kata, SUV dilihat sebagai kenderaan gaya hidup urban.
Persoalan kenapa golongan ini mudah tertarik dengan SUV mungkin ada kaitan dengan konfigurasi binaannya iaitu menggabungkan sifat seperti sebuah van dan kereta sedan.
Ada sekurang-kurangnya empat faktor menjadikan SUV lebih baik berbanding kenderaan segmen lain.
Pertama, SUV menawarkan ruang simpanan barang yang lebih luas berbanding kereta sedan apatah lagi versi hatchback.
Kedua, ciri binaan dengan bumbung tinggi dan lantai rendah meningkatkan ruang kelegaan di atas kepala dan lutut penumpang adalah jauh lebih baik berbanding model wagon.
Ketinggian SUV dengan kedudukan pintu lebih tinggi memudahkan akses masuk ke dalam kabin tanpa memerlukan pemandu dan penumpang tunduk atau membongkok seperti menaiki kereta hatchback.
Keempat ialah reka bentuk kabin SUV dengan tetapan kerusi pemandu yang lebih tinggi beserta panel cermin depan bersaiz besar membolehkan pemandu melihat keadaan di hadapan dengan lebih baik.
Toyota nampaknya menjadikan Corolla Cross sebagai produk pelengkap dua model SUV sedia ada iaitu C-HR dan RAV4. Corolla Cross adalah lebih tinggi, lebar dan panjang berbanding C-HR walaupun kedua-dua SUV ini mempunyai jarak roda sama iaitu 2,640 milimeter (mm). RAV4 adalah lebih besar berbanding kedua-dua model itu.
Reka bentuk luaran Corolla Cross ada sedikit persamaan dengan model RAV4 yang baru dilancarkan di Malaysia tetapi dengan sentuhan lebih lembut. Ini dapat dilihat pada bentuk grill, set bampar depan dan garisan badan.
Cuma, ada lencana Corolla Cross dipasang di antara kedua-dua lampu belakang sebagai hebahan kepada pemandu lain, ini ahli keluarga Corolla. Stigma ini akan berubah sebaik pintu SUV Corolla Cross dibuka.
Ruang kabin Corolla Cross lebih banyak mewarisi gaya seperti model sedan Corolla baharu khususnya reka bentuk papan pemuka dan konsol tengah. SUV dengan lima tempat duduk ini direka dengan penekanan soal keluasan dalaman dan ruang simpanan but sehingga 487 liter.
Corolla Cross dibangunkan berasaskan platform Arkitektur Global Baharu Toyota (TNGA-C) iaitu sama seperti model C-HR dan sedan Corolla tetapi menggunakan sistem suspensi depan jenis topang MacPherson dan torsion beam di bahagian belakang. Sekadar makluman, model C-HR dan Corolla sedan menggunakan sistem suspensi belakang jenis double wishbone.
Toyota memperkenalkan dua pilihan rangkaian kuasa untuk Corolla Cross di Thailand iaitu aspirasi biasa (NA) petrol atau jenis hibrid. Kedua-dua enjin ini adalah jenis empat silinder 1.8 liter.
Enjin petrol itu mampu menghasilkan kuasa maksimum 140PS pada 6,000rpm, manakala tork puncak ialah 177Nm @ 4,000rpm dengan bantuan kotak gear tujuh kelajuan CVT-i.
Rangkaian kuasa hibrid boleh mengekstrak kuasa maksimum 98PS @ 5,200rpm dan tork setinggi 142Nm pada 3,600rpm. Model hibrid ini dibantu motor elektrik dan kotak gear e-CVT untuk menjana kuasa 72PS serta tork 163Nm. Jumlah output sistem ini ialah 122PS.
Berhubung jumlah varian Corolla Cross, pelanggan Thailand ada empat pilihan iaitu satu model asas dengan enjin petrol dan tiga lagi SUV menggunakan sistem hibrid.
SUV Corolla Cross didatangkan dengan banyak ciri moden termasuk sistem lampu depan jenis LED, lampu nyalaan siang (DRL), dua pilihan rim sama ada 17 atau 18 inci, balutan material kulit dalam kabin, bumbung matahari, sistem kemasukan tanpa kunci, skrin digital pelbagai info sebesar tujuh inci dan ciri penyelarasan tempat duduk lapan tahap.
Toyota mengambil berat soal keselamatan Corolla Cross dan menawarkan satu pakej yang agak komprehensif termasuk tujuh unit beg udara sebagai ciri standard dan sistem bantuan pemandu Toyota Safety Sense pula merangkumi fungsi Sistem Praperlanggaran (PCS) dengan Pengesan Pejalan Kaki dan Penunggang Basikal (PCD), Sistem Bantuan Tukar Lorong (LDA) dengan Bantuan Stereng (SA), Kawalan Jelajah Radar Dinamik (DRCC) serta Lampu Suluh Tinggi Automatik (AHB).
Bagaimanapun, ciri keselamatan canggih Toyota Safety Sense lebih tertumpu kepada varian Premium Corolla Cross. Model lain ada ciri keselamatan termaju tetapi tidak secanggih varian Premium Safety.
UMW Toyota Malaysia belum bersedia berkongsi maklumat sama ada mereka mahu membawa masuk Corolla Cross untuk pasaran tempatan atau tidak.
Sebenarnya, syarikat itu ada menawarkan lima model SUV iaitu Rush, C-HR, Fortuner, RAV4 dan Harrier. Apa salahnya jika tambah satu lagi pilihan, mungkin versi Corolla Cross standard.