JAGUH lompat bergalah negara, Iskandar Alwi meluahkan kebimbangan sekiranya atlet dari Malaysia tidak dijemput bertanding pada Kejohanan Terbuka Olahraga Piala Taipei City di Taiwan pada Oktober depan.
Pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 5.31 meter (m) itu risau jika peningkatan jumlah kes wabak Covid-19 di Malaysia sejak kebelakangan ini mampu menjejaskan penyertaan atlet negara pada kejohanan tersebut.
Ini kerana, kejohanan itu dianggap penting buat Iskandar, 26, untuk mengukur tahap perkembangan prestasinya dalam suasana pertandingan sebenar selepas skuad olahraga negara dapat menjalani latihan semula baru-baru ini.
“Tahun ini kemungkinan ada satu kejohanan antarabangsa di Taiwan pada Oktober tetapi ia bergantung kepada keadaan (semasa).
“Jurulatih (Mohd. Manshahar Abdul Jalil) beritahu tidak boleh jangka sama ada penganjur akan jemput kita atau tidak sebab kes (Covid-19) di Malaysia naik. Khuatir kejohanan ada tetapi mereka tidak jemput kita,” katanya.
Sementara itu, Iskandar bersyukur kerana sudah menerima insentif berjumlah RM2,000 daripada Kesatuan Olahraga Malaysia atas kejayaan memecahkan rekod kebangsaan dua tahun lalu dan meraih pingat gangsa pada Sukan SEA Manila 2019.
“Sebenarnya saya sendiri sudah tidak ingat ada insentif untuk saya pecahkan rekod kebangsaan sewaktu menyertai satu kejohanan olahraga di dua tahun lalu,” jelasnya.
Atlet dari Johor itu berpeluang meraih lebih banyak insentif jika berjaya memperbaharui rekod kebangsaan miliknya dan meraih pingat emas pada Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam dari 27 November hingga 2 Disember. – K! ONLINE