LONDON – Impian Newcastle United untuk kembali mencabar dan berada sebaris dengan kelab-kelab elit di England tidak kesampaian apabila konsortium dari Arab Saudi membatalkan hasrat mereka untuk membeli pasukan itu.
Amanda Staveley yang berperanan sebagai orang tengah perjanjian itu, menuding jari kepada Liga Perdana Inggeris (EPL) sebagai punca konsortium dari Arab Saudi tersebut menarik balik tawaran mereka bernilai £300 juta (RM1.67 bilion).
“Kami dapat merasai kekecewaan penyokong-penyokong Newcastle yang amat berharap pelaburan ini menjadi kenyataan selepas situasi yang telah berlaku sekarang ini disebabkan Brexit dan Covid-19.
“Urusan ini sudah berjalan begitu lama tetapi mereka (EPL) menyalahkan kami kerana tidak menjawab segala soalan yang diberikan. Pasukan-pasukan lain di EPL juga sebenarnya tidak mahu perkara ini berlaku,” katanya.
Ada dakwaan mengatakan Liverpool dan Tottenham Hotspur adalah dua daripada 10 pasukan EPL yang menentang urusan ambil alih Newcastle oleh Dana Pelaburan Awam Saudi yang dipengerusikan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman.
Ada juga yang menuding jari kepada pemilik Newcastle ketika ini, Mike Ashley yang bersikap tamak kerana menaikkan harga jualan kepada £350 juta (RM1.95 bilion) baru-baru ini.
Ia sekali gus menyaksikan Ashley kini berdepan tekanan besar kerana perlu mencari pembeli baharu dengan ahli perniagaan Amerika Syarikat, Henry Mauriss dilaporkan bersedia mengemukakan tawaran baharu. – AGENSI