KUALA LUMPUR – Harapan seorang ibu muda untuk bertemu semula dengan bayinya hari ini tidak kesampaian apabila proses membawa pulang mungkin terpaksa ditangguhkan berikutanpenutupan pintu sempadan akibat pandemik Covid-19.
Nurhaliza Chek Awae, 18, berkata, dia dimaklumkan mengenai perkara itu oleh pihak kerajaan Thailand semalam.
“Saya dimaklumkan oleh pihak kerajaan Thailand bahawa bayi saya tidak dapat dibawa pulang kerana kerajaan Malaysia masih menutup pintu sempadan.
“Saya sepatutnya berjumpa bayi saya pagi esok (hari ini), namun terpaksa menunggu minggu depan (untuk berjumpa) selepas terpisah sejak Februari lalu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Menurut Nurhaliza, dia dijadualkan bertemu dengan anaknya pada 3 Ogos ini sekiranya proses membawa pulang bayi berjalan lancar.
Wanita itu yakin dia dapat berjumpa semula kerana urusan dokumentasi dan pembayaran bil Hospital Kajang dekat sini telah selesai.
Bercerita lanjut, Nurhaliza berkata, mengikut perancangan, dia akan dibawa dengan sebuah kenderaan khas untuk bertemu anak bongsu daripada dua adik beradik di sempadan Bukit Kayu Hitam, Kedah.
Bayi itu kemudiannya akan dibawa ke Hospital Pattani dan menjalani kuarantin selama 14 hari di hospital tersebut.
Kosmo! semalam melaporkan bayi warga Thailand yang ditinggalkan di Hospital Kajang sejak lima bulan lalu akan dibawa pulang bertemu ibunya yang berada di Pattani, Thailand hari ini.
Bayi yang dilahirkan pramatang itu ditinggalkan di hospital berkenaan pada Februari lalu selepas ibu dan bapanya, Muhammad Thipyaleh, 27, pulang ke Thailand untuk memperbaharui pasport, namun terkandas disebabkan pandemik Covid-19. – K! ONLINE