fbpx

Hearthstone bantu Dr. Yew genggam PhD.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DR. Yew ceria menunjukkan pingat emas yang dimenangi dalam acara Hearthstone pada Sukan SEA di Filipina tahun lalu.

PERMAINAN video Hearthstone mungkin tidak begitu popular dalam kalangan rakyat Malaysia berbanding permainan lain seperti PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG), Mobile Legends, Dota 2 atau FIFA.

Namun, permainan itu sebenarnya dimainkan secara global dan turut menawarkan hadiah wang terkumpul sehingga mencecah AS$1 juta (RM4.29 juta) pada kejohanan-kejohanan besar di peringkat antarabangsa.

Bukan itu sahaja, Hearthstone adalah satu permainan kad berstrategi yang mampu merangsang minda pemain-pemainnya untuk merencana kemenangan dalam sesuatu perlawanan.

Bagi pemain e-Sukan profesional negara, Dr. Yew Weng Kean, permainan itu secara tidak langsung telah membantunya bergelar pemegang Doktor Falsafah (PhD.) dalam Kejuruteraan Elektronik pada tahun 2018.

“Awalnya saya cuma anggap Hearthstone sebagai hobi sahaja tetapi lama-kelamaan saya rasa ada bakat dan mula menyertai pertandingan-pertandingan kecil sehingga ke peringkat kebangsaan.

“Saya memilih Hearthstone kerana kebanyakan permainan lain mengambil masa yang agak lama. Lagi pun permainan ini ada elemen-elemen strategi.

“Permainan ini dapat merangsang minda dan membuatkan anda berfikir di luar kotak. Malah, saya jadikan sebagai cara untuk menyegarkan minda sewaktu menuntut PhD dahulu,” katanya.

Walaupun mempunyai tugas hakiki sebagai penolong profesor di Universiti Heriot Watt, tetapi pekerjaan itu tidak menghalang Dr. Yew untuk menjuarai acara e-Sukan kategori Hearthstone pada Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina.

Ia sekali gus menyaksikan ahli akademik berusia 30 tahun itu menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai pemenang pingat emas pertama e-Sukan negara pada Sukan SEA.

“Malaysia sentiasa hebat dalam permainan berstrategi berbanding negara-negara jiran walaupun orang kita sebenarnya lebih cenderung bermain permainan yang menghiburkan se­perti PUBG, FIFA dan Mobile Le­gends.

“Walaupun bergelar gamer profesional tetapi fokus utama saya tetap kepada pengajaran di universiti dan pada masa sama cuba memberikan semula apa yang saya ada kepada komuniti.

“E-Sukan di Malaysia akan berkembang pesat dalam beberapa tahun selepas ini. Struktur dan perkembangan pemain kena betul dari awal lagi supaya kita tidak ketinggalan jauh di belakang negara-negara lain,” jelasnya.

Dr. Yew yang terkenal dengan nama Wkyew dalam dunia permainan Hearthstone, adalah pemain e-Sukan Malaysia ketiga tercatat nama dalam MBOR selepas Mohd. Faris Zakaria dan Jiunn Jie Kow.

Faris atau nama glamornya, Soloz adalah pemain profesional Mobile Legends untuk pasukan Team Bosskur dan memegang rekod jumlah pengikut tertinggi di Facebook dalam kategori e-Sukan iaitu 1.5 juta (setakat 2 Julai 2020).

Jie Kow yang dikenali sebagai BiuBiu adalah pemain PUBG Mobile untuk Team Secret Malaysia dan mencatat rekod jumlah tontonan video e-Sukan tertinggi di platform Youtube iaitu 7.3 juta. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI