PEMAIN-PEMAIN pasukan Kelantan terus dibayangi isu gaji yang tiada kesudahan, lebih-lebih lagi ketika umat Islam sedang menyambut Hari Raya Aidiladha.
Terbaharu, kapten The Red Warriors (TRW), Farisham Ismail meluahkan isi hati serta kekecewaannya terhadap kepimpinan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).
Dia seolah-olah menggesa kepimpinan badan induk bola sepak Kelantan itu agar membuka mata serta mengambil berat soal kebajikan setiap pemain.
“Kepimpinan yang baik akan melaksanakan segala kebajikan untuk pemain. Bukan hanya berdiam diri dan melihat pemain-pemain menderita. Di mana tanggungjawab anda?
“Kami hanya menuntut hak kami. Jika tidak mampu, lepaskan dan berkorbanlah. Selamat Hari Raya Korban,” kata Farisham menerusi laman Instagramnya semalam.
Difahamkan, isu tunggakan gaji melibatkan pemain-pemain Kelantan masih belum selesai dan didakwa sudah berlarutan sejak Mac lalu.
Sebelum ini, pengendali TRW, Yusri Che Lah mengakui sedia untuk melepaskan mana-mana pemain sekiranya mereka dipancing pasukan lain ekoran situasi tidak menentu persatuan tersebut.
“Saya tidak pernah menyekat pemain daripada menyuarakan pendapat kerana itu hak masing-masing. Saya juga tidak halang jika ada yang mahu berhijrah sekiranya keadaan tidak menyebelahi mereka,” katanya. – K! ONLINE