TANAH MERAH – Seorang penyembelih lembu hampir putus dua jarinya apabila lembu yang disembelih meronta-ronta semasa menyempurnakan ibadah korban di sini semalam.
Ekoran kejadian itu, jari telunjuk kiri Timbalan Pegawai Daerah Bachok, Md. Yani Mat Zin, 47, menerima lapan jahitan manakala jari hantunya terkupas isi akibat terkena pisau yang digunakan untuk menyembelih lembu itu.
Menceritakan detik itu, Md. Yani berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 9.45 pagi selepas dia telah menyembelih tiga ekor lembu di kawasan lapang di bandar Tanah Merah.
Katanya, apabila tiba giliran lembu keempat, haiwan tersebut yang dipegang oleh enam orang penduduk setempat meronta-ronta dan pisau yang digunakan itu terkena jari telunjuk dan jari hantunya.
“Semasa situasi itu berlaku, saya melihat individu yang memegang bahagian kepala dan dada lembu itu terlepas pegangan mereka. Keadaan itu menyebabkan mata pisau yang berada di leher lembu terkena pada kedua jari saya.
“Pada mulanya saya ingat hanya cedera ringan namun, apabila diperhatikan jari telunjuk hampir putus. Darah juga banyak mengalir,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.
Menurut Md. Yani yang berpengalaman selama 27 tahun menyembelih lembu semasa Hari Raya Aidiladha, dia dibawa ke klinik berhampiran untuk menerima rawatan.
Katanya, susulan kejadian itu, dia terpaksa hadir ke klinik tiga hari sekali untuk mendapat rawatan susulan dan pembersihan luka jahitannya itu.
“Sepanjang 27 tahun menyembelih lembu, ini pertama kali jari saya luka dan hampir putus. Selama ini, segala urusan saya sentiasa dipermudahkan.
“Meskipun berlaku kejadian yang tidak diingini tahun ini, ia tetap tidak mematahkan semangat saya untuk menjalankan ibadah korban untuk tahun-tahun hadapan,” katanya. – K! ONLINE