KETENANGAN air dan kehijauan persekitaran di Tasik Pedu di daerah Padang Terap, Kedah bukan sahaja memukau pandangan pencinta alam semula jadi, malah turut menarik perhatian kaki pancing untuk memburu pelbagai spesies ikan air tawar di situ.
Tasik buatan manusia itu menjadi antara destinasi pilihan kepada penggemar aktiviti memancing yang datang dari negeri-negeri lain di utara seperti Perlis, Pulau Pinang dan Perak.
Antara jenis ikan yang menjadikan Tasik Pedu sebagai habitat adalah baung, haruan, jelawat dan toman.
Seorang pemancing, Amir Wahab, 46, dari Kampung Pedu berkata, dia mempunyai pengalaman menarik ketika berjaya menjinakkan baung dan haruan yang masing-masing seberat 4 kilogram (kg) beberapa bulan lalu.
Katanya, dia dipaksa ‘bertarung’ selama 10 minit sebelum berjaya menaikkan ikan tersebut memandangkan spesies berkenaan terkenal dengan sifat agresif.
“Pengalaman berharga itu memberi semangat kepada saya untuk terus memburu ikan di tasik ini kerana ia memberikan cabaran tersendiri,” katanya sambil memberitahu, dia menggunakan teknik casting untuk menawan ikan berkenaan.
Katanya, bagi kemudahan kaki pancing melakukan aktiviti kegemaran mereka itu, terdapat pengusaha menyediakan perkhidmatan sewaan bot dan rumah bot di sekitar tasik tersebut.
Pemancing katanya, boleh bermalam di rumah bot pada kadar berpatutan, selain boleh menyewa bot untuk mudik ke hilir tasik untuk memburu ikan kegemaran mereka.
“Perjalanan itu mengambil masa kira-kira 30 minit sebelum tiba di kawasan yang menjadi lubuk ikan yang menjadi rebutan kaki pancing terutamanya baung,” katanya yang memancing di situ sejak 25 tahun lalu.
Seorang lagi pemancing tegar, Mohd. Arif Aizad Marzuki, 18, dari Kampung Pinang, Kuala Nerang pula berkata, dia lebih suka memancing pada waktu malam kerana ikan baung yang dicarinya aktif pada masa itu.
Katanya, baung selalunya akan keluar dan bermain di permukaan tasik pada waktu malam untuk mencari mangsa dan oleh sebab itu, pencari baung sepertinya memburu spesies tersebut pada waktu berkenaan.
“Saya biasanya menggunakan umpan ulat sagu kerana ia antara makanan kegemaran baung. Biasanya umpan tersebut tidak pernah mengecewakan.
“Saya sanggup bersengkang mata hingga waktu subuh semata-mata ingin menaikkan baung yang sedap dimasak lemak,” katanya.
Jelasnya, dia pernah menangkap baung seberat 3.5 kg dan pengalaman ‘menawan’ ikan itu tidak dapat dilupakan kerana ia kuat ‘melawan’ sebelum berjaya dijinakkan.
“Hasil tangkapan tidak pernah saya jual dan biasanya dibawa pulang untuk dimasak oleh ibu,” katanya.
Menurut Mohd. Arif Aizad lagi, musim kemarau baru-baru ini menjadi satu pengalaman tidak dapat dilupakan oleh kaki pancing.
“Paras air yang turun mendadak hingga 40 peratus di tasik itu menyebabkan pelbagai spesies ikan berkumpul dengan banyak di lubuk-lubuk tertentu.
“Pada masa itu, kawasan ini umpama pesta yang dipenuhi dengan kaki pancing dan penggemar ikan air tawar yang tidak pulang dengan tangan kosong,” ujarnya.