LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta menyifatkan trofi Piala FA sahaja mampu menyelamatkan musim terburuk pasukan itu dalam tempoh 15 tahun apabila sekadar menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di tempat kelapan.
Ia juga secara tidak langsung dapat membuktikan bahawa Arteta, 38, adalah individu tepat untuk mengembalikan semula zaman kegemilangan The Gunners yang sudah empat musim gagal melangkah ke pentas Liga Juara-Juara.
Bagaimanapun, Arteta perlu melepasi halangan Chelsea dahulu pada aksi final Piala FA di Stadium Wembley awal pagi esok jika mahu memastikan Arsenal masih relevan beraksi dalam kancah Eropah walaupun sekadar saingan Liga Europa.
“Piala FA bukanlah tahap sebenar Arsenal kerana pasukan ini berhak mencabar kejuaraan yang lebih besar daripada ini.
“Namun, selepas apa yang terjadi, sekurang-kurangnya Piala FA dapat membantu Arsenal layak beraksi sebagai antara pasukan elit di Eropah,” katanya.
Pengendali dari Sepanyol itu bukan nama asing lagi selepas beliau berjaya membantu Arsenal menamatkan kemarau sembilan tahun tanpa sebarang kejuaraan dengan menjulang Piala FA sewaktu menjadi kapten pasukan itu pada 2014.
Bagi Arteta, kejayaan menjuarai Piala FA bukan sahaja membantu Arsenal dari segi kewangan tetapi mampu memujuk penyerang prolifik Gabon, Pierre-Emerick Aubameyang untuk terus kekal bersama mereka.
Ini kerana, bekas bintang Borussia Dortmund itu masih belum menandatangani perjanjian baharu memandangkan kontraknya cuma berbaki setahun sahaja lagi.
Bagaimanapun, ia bukan tugas mudah buat anak-anak buah Arteta apabila mereka sekadar seri 2-2 dan tewas 1-2 dalam dua perlawanan liga menentang Chelesea musim ini. – AGENSI