PUTRAJAYA – Sebanyak 134 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk seorang individu atas kesalahan melanggar perintah pengawasan kuarantin di rumah (HSO).
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dari 27 Julai hingga semalam, enam individu dikenakan tindakan kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kuarantin di rumah yang ditetapkan.
“Sebanyak 2,271 pemeriksaan dibuat semalam terhadap individu yang sedang menjalankan kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing.
“Polis bersama petugas Kementerian Kesihatan akan sentiasa membuat pemeriksaan dan pemantauan terhadap individu-individu terbabit bagi memastikan SOP dipatuhi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, pemantauan SOP solat Jumaat di 2,294 masjid semalam yang melibatkan 283,355 jemaah juga didapati mengikuti garis panduan yang ditetapkan serta mengikut saiz keluasan masjid. – K! ONLINE