PANDEMIK Covid-19 yang melanda dunia bukan sahaja mengubah norma kehidupan manusia, malahan ramai individu terkesan sehingga ada yang hilang pekerjaan.
Kesan daripada wabak ini juga telah menyebabkan kadar pengganguran di negara ini diunjurkan dalam lingkungan 3.5 peratus hingga 5.5 peratus pada tahun ini seperti mana dilaporkan Jabatan Perangkaan Malaysia.
Cakna dengan hal tersebut telah mendorong syarikat dobi layan diri, dobiQueen memperkenalkan satu inisiatif yang dinamakan Skim Ratu Rumah (SRR) demi meringankan beban mereka yang hilang punca pendapatan akibat pandemik tersebut terutamanya golongan ibu tunggal.
Skim itu memberi manfaat kepada wanita-wanita di luar sana yang menjadi penyara tunggal keluarga.
Pengarah dobiQueen, Nini Tan berkata, inisiatif tersebut dilaksanakan sejajar dengan matlamat Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang diperkenalkan oleh kerajaan bagi membantu golongan kurang bernasib baik yang kehilangan pekerjaan.
“Dengan kadar pengangguran yang meningkat secara mendadak pada ketika ini, dobiQueen sebagai syarikat tempatan ingin mengambil bahagian dalam meringankan beban dan sokongan kepada komuniti.
“Menerusi skim ini, dobiQueen menawarkan peluang pekerjaan kepada golongan ibu tunggal terutamanya buat mereka yang tinggal berhampiran dengan cawangan dobiQueen,” jelasnya kepada Aura baru-baru ini.
Tambahnya, melalui langkah demikian mereka tidak perlu lagi mengharapkan bantuan daripada mana-mana pihak untuk meneruskan kehidupan.
Menurutnya, setakat ini sudah terdapat empat orang ibu tunggal yang berkhidmat dengan dobiQueen.
Antara jawatan yang ditawarkan oleh dobiQueen buat ibu-ibu tunggal ialah penyelia cawangan dan pengurus kawasan.
Tugas penyelia cawangan adalah memastikan kedai sentiasa dalam keadaan bersih selain bertanggungjawab membantu pelanggan yang memerlukan pertolongan.
Jawatan pengurus cawangan pula ditawarkan kepada mereka yang mempunyai pengalaman dan individu itu bertanggungjawab untuk mengurus sebanyak lima cawangan.
“Bagi penyelia cawangan, gaji yang ditawarkan adalah sehingga RM1,900 sebulan termasuk insentif sebagai menghargai kerja keras mereka.
“Ada juga ibu tunggal yang bekerja dengan kami ini telah menjawat jawatan sebagai pengurus kawasan yang bertanggungjawab memantau cawangan-cawangan di kawasan yang telah ditetapkan,” katanya.
Nini berkata, dia melihat ibu tunggal lebih menghargai peluang pekerjaan yang diberikan kepada mereka.
“Saya dapati mereka lebih bersungguh-sungguh dan sangat berdedikasi dalam melaksanakan tanggungjawab yang diberikan. Saya fikir lebih baik mengambil pekerja yang menghargai peluang diberikan kepadanya.
“Calon-calon yang terpilih pula bukan sekadar menjadi ‘ratu rumah’ keluarga mereka, malah mereka mewakili semua cawangan dobiQueen di serata Lembah Klang. Sebagai wakil jenama kami, mereka akan bertugas di cawangan berdekatan kediaman mereka. Selain menawarkan perkhidmatan pelanggan terbaik, cawangan dobiQueen kendalian mereka perlu sentiasa bersih dan kemas seiring dengan piawaian yang ditetapkan oleh syarikat,” jelas Nini.
Mula beroperasi sejak Ogos 2015, dobiQueen kini mempunyai 68 cawangan di sekitar Lembah Klang.
Nini berharap pada masa depan dobiQueen dapat menambah lagi beberapa cawangan baharu dan sekali gus dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan buat mereka yang memerlukan.
“Sasaran kami untuk tahun ini adalah untuk menambah cawangan dobiQueen di beberapa lokasi yang telah dikenal pasti.
“Tetapi disebabkan pandemik Covid-19 ini perancangan itu tergendala,” tegasnya.
Katanya, ibu tunggal yang berminat menyertai SRR boleh ke cawangan berhampiran untuk tujuan tersebut.