STATUS penganjuran saingan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) Grand Prix Malaysia masih belum dapat diputuskan dan hanya akan terjawab bulan depan sekali gus memadamkan desas desus bahawa ia akan diumumkan hari ini.
Ketika ini Kerajaan Malaysia telah memutuskan kebenaran bagi sektor sukan dan rekreasi fasa 3 dan 4 iaitu penganjuran kejohanan dan pertandingan tempatan tanpa penonton yang melibatkan aktiviti tidak bersentuhan fizikal beroperasi mulai 15 Julai lalu.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hanya penganjuran kejohanan tempatan sahaja dibenarkan, namun sebarang penganjuran melibatkan peserta dari luar negara tidak dibenarkan.
Sehubungan itu, sumber memberitahu bahawa tarikh penganjuran berkenaan tidak dapat dipastikan dalam masa terdekat.
“Buat masa sekarang kami belum dapat sahkan mengenai tarikh penganjuran GP Malaysia kerana situasi Covid-19 di sini tidak berapa baik dan kembali meningkat.
“Kami masih melakukan perbincangan dengan pihak Dorna Sports iaitu pemegang hak eksklusif komersial dan televisyen MotoGP, KBS dan MKN sendiri. Mungkin Ogos nanti kita akan tahu sama ada MotoGP akan berlangsung atau tidak,” kata sumber tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif turut mengakui pihaknya telah membuat persediaan terbaik mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
“Kami sudah menyediakan prosedur SOP yang ditetapkan dengan teliti dan maklum balas yang diterima dari Menteri Belia dan Sukan (Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican) juga positif selepas sesi lawatannya ke SIC baru-baru ini,” ujarnya.
Mengikut kalendar perlumbaan, Malaysia bakal menjadi tuan rumah saingan MotoGP pada 1 November ini.