JAKARTA, INDONESIA – Seorang lelaki di Jalan Jendral Basukio Rahmat di sini bermurah hati menyediakan makan tengah hari percuma untuk penduduk terjejas ketika Indonesia dilanda pandemik Covid-19, lapor portal berita Kompas.com.
Penduduk dikenali sebagai Hadi itu berkata, dia menyediakan tempat makan di sebuah rumah kedai di sini yang dibuka sejak kelmarin dan mendapat sambutan daripada pelbagai golongan.
“Tempat makan itu seperti dapur umum dan terletak di kawasan parkir.
“Antara mereka yang datang termasuk musafir, buruh, peminta sedekah dan penunggang teksi motosikal (gojek),” katanya.
Ujarnya lagi, idea untuk memberi makan tengah hari percuma itu tercetus selepas dia kasihan melihat pendapatan banyak pihak terjejas akibat Covid-19.
Tempat makan itu yang dibuka dari Isnin sehingga Jumaat bermula pukul 12 tengah hari hingga 2 petang, dikunjungi kira-kira 60 orang setiap hari. Orang ramai yang datang diwajibkan memakai pelitup muka dan mencuci tangan mengunakan cecair pembasmi kuman.
Setiap hari, Hadi akan membelanjakan antara 600,000 rupiah (RM175.66) hingga 800,000 rupiah (RM234.21) untuk menyediakan menu makan tengah hari antaranya mi goreng, sayur, tauhu, tempe dan keropok.
Walaupun mengaku modal yang diperlukan agak besar, Hadi tidak berdepan masalah kerana dia juga menerima bantuan dana daripada beberapa penderma yang bermurah hati. – AGENSI