APABILA sebut sahaja mengenai ibadah korban, bayangan lembu-lembu tempatan yang ditambat di masjid atau ladang ternakan pastinya berlegar-legar di kotak fikiran umum.
Mana tidaknya, binatang ternakan tersebut merupakan haiwan ruminan yang lazim disembelih oleh masyarakat di negara ini setiap kali melaksanakan ibadah korban.
Paling unik sekalipun, hanyalah haiwan-haiwan seperti biri-biri, kerbau dan unta.
Bagaimanapun, berbeza pula pada ibadah korban tahun ini apabila buat pertama kalinya, sebuah syarikat tempatan, Asia Harvest Agro memperkenalkan korban daging wagyu kepada masyarakat umum.
Dikenali sebagai daging wagyu Miyazaki, daging lembu terbaik dunia yang bergred A5 itu disembelih khas dari sebuah ladang ternak di Miyazaki, Jepun sebelum diterbangkan khas ke Malaysia untuk diagihkan kepada peserta-peserta korban terlibat.
Cerita Pengarah Urusannya, Najib Jalil, idea untuk memperkenalkan daging korban wagyu Miyazaki timbul selepas sering berurusan dengan industri penternakan daging wagyu di Negara Matahari Terbit itu.
“Saya melihat daging wagyu mempunyai kualiti yang terbaik berbanding daging-daging sedia ada di pasaran biarpun nilainya mencecah ratusan ribu ringgit bagi seekor lembu.
“Menyedari dalam Islam sendiri menggalakkan individu untuk melaksanakan ibadah korban menggunakan daging terbaik pada Hari Raya Aidiladha, saya terpanggil untuk menyediakan platform dan menjadi perantara pelaksanaan korban lembu wagyu Miyazaki kepada individu berkemampuan di negara ini,” jelasnya.
Ujarnya, dengan membayar RM29,999 orang ramai boleh menyertai korban daging wagyu dengan satu bahagian.
Bercerita lanjut mengenai daging wagyu Miyazaki, menurut Najib lagi, kewujudan lapisan lemak di antara tisu ototnya berbanding daging biasa membuatkan wagyu kelihatan seperti marbling dan lapisannya mencair apabila dimasak sehingga menghasilkan rasa enak yang luar biasa.
“Lembu ini diternak dengan rejim penjagaan yang sangat rapi selain diet ketat, tidak sama seperti lembu-lembu biasa.
“Disebabkan itu harganya berganda dan lebih mahal berbanding daging lembu biasa.
“Malah, harga bagi sekilogram daging wagyu sahaja boleh mencecah sehingga RM600 atau lebih,” jelasnya.
Terang Najib lagi, menerusi korban wagyu itu, setiap peserta yang membayar RM29,999 bagi satu bahagian akan mendapat 50 kilogram (kg) daging.
“Jepun sebenarnya mempunyai tiga jenis daging lembu terbaik iaitu Miyazaki, Kobe dan Kakoshima. Nama-nama daging ini diambil daripada lokasi haiwan tersebut diternak.
“Bagaimanapun, daripada ketiga-tiga jenis daging tersebut, daging wagyu Miyazaki adalah paling popular dan berkualiti kerana teksturnya yang sangat lembut serta enak berbanding dua lagi daging wagyu yang terdapat di sana,” jelasnya.
Komuniti Islam
Menceritakan mengenai proses penyembelihan daging lembu wagyu itu pula, menurut Najib, lembu-lembu korban seberat 800 kg seekor akan disembelih pada Hari Raya Aidiladha pertama sehingga keempat.
“Kesemua lembu korban itu akan disembelih secara halal di rumah sembelihan halal di Nishiawa oleh jurusembelih yang sah dan diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
“Daging tersebut kemudian akan disimpan dan ditandakan mengikut bahagian peserta masing-masing sebelum dibekukan. Daging akan diterbangkan ke tanah air untuk diagih-agihkan kepada peserta korban dalam tempoh 10 hingga 15 hari selepas penyembelihan,” jelasnya.
Cerita Najib, ramai yang terkejut tatkala mendengar harga bagi satu bahagian lembu wagyu Miyazaki bernilai RM29,999. Malah, ada segelintir individu yang berpendapat jumlah tersebut menyamai harga pelaksanaan ibadah korban bagi lebih enam ekor lembu tempatan.
Bagaimanapun, Najib mengakui disebabkan harganya yang tinggi pihaknya mengalami kesukaran untuk mendapatkan penyertaan. Dedahnya, ada pihak yang sudah membuat tempahan untuk menyertai korban wagyu, namun membatalkan di saat-saat akhir.
Namun, kata Najib, sekalipun tiada penyertaan dari rakyat Malaysia, pihaknya masih melaksanakan ibadah korban wagyu iaitu melibatkan komuniti Islam di Jepun sahaja. Ini kerana, pihaknya turut bertanggungjawab mengendalikan korban wagyu bagi masyarakat Islam di negara itu.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri telah menjelaskan hukum ibadah korban menggunakan daging wagyu adalah harus dan dibolehkan jika menepati kesemua syarat-syaratnya.
“Allah telah mensyariatkan ibadah korban kepada golongan yang berkemampuan untuk melaksanakannya.
“Pada asasnya ibadah korban dengan menggunakan lembu wagyu tidak menjadi masalah sekiranya individu itu benar-benar berkemampuan. Seseorang dibolehkan melakukan ibadah korban dengan unta, lembu, lembu wagyu dan sebagainya tetapi dengan syarat berkemampuan dan tidak berhutang,” jelasnya.
Terang Zulkifli lagi, sesungguhnya Islam menggalakkan penggunaan haiwan terbaik dan sihat dalam melakukan ibadah korban.
Bukan sekadar melaksanakan ibadah korban menggunakan daging premium, Najib turut menyediakan platform pakej korban lembu biasa buat masyarakat di negara ini. Uniknya, ia dilakukan secara online bersesuaian dengan norma baharu masyarakat Malaysia hari ini.
Dikenali sebagai Berkat Korban AEON, inisiatif tersebut merupakan hasil kerjasama tiga hala antara Koperasi Kelab Transformasi Ruminan Malaysia Berhad, AEON dan kumpulan masakan popular di Facebook, Suami Masak Apa Hari ini (SMAHI).
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SMAHI, Mohd. Salleh Ab. Hamid, penganjuran program korban itu bertujuan membantu orang ramai yang berdepan kesukaran melaksanakan ibadah korban pada norma baharu selain banyak masjid dan surau yang tidak dapat melaksanakan ibadah korban akibat Covid-19.
“Menerusi platform ini, mereka bukan sahaja boleh menyempurnakan ibadah korban dengan lebih sistematik, malah memastikan keselamatan dan kesihatan terjaga dengan mematuhi SOP yang ditetapkan. Selain itu, cara ini juga dapat membantu penternak yang berhadapan dengan kesukaran menjual hasil ternakan mereka ekoran wabak ini,” jelasnya.
Ujarnya, bagi tujuan tersebut beberapa pakej telah disediakan untuk peserta-peserta ibadah korban. Antaranya ialah pakej BK1 bernilai RM799, BK2 bernilai RM899, BK3 bernilai RM999, BK Kambing pada harga RM1,199 serta BK Premium Sado bernilai RM2,799.
“Penyembelihan dibuat pada hari raya pertama sehingga keempat di lokasi tertentu. Daging kemudian akan dihantar ke pusat pengagihan di AEON Nilai sebelum dihantar ke AEON berdekatan untuk diambil peserta korban.
“Biarpun begitu sebelum ibadah korban dilaksanakan, pihak kami akan membuat live feed di media sosial bagi menunjukkan kepada para peserta lembu-lembu korban mereka,” jelasnya.