JEDDAH – Kementerian Kesihatan Arab Saudi selesai melakukan persiapan untuk menyediakan penjagaan perubatan kepada jemaah haji yang berhimpun di Padang Arafah semasa kemuncak ibadat haji, lapor laman berita Arab News semalam.
Kemudahan-kemudahan kesihatan yang disediakan di Arafah termasuk klinik awam lengkap dengan doktor, juruperunding dan jururawat yang memiliki kepakaran dalam penjagaan unit rawatan rapi serta peralatan bagi menangani kes strok haba.
Komander Pertahanan Awam Haji, Mejar Jeneral Hamoud AlFaraj mengesahkan tahap kesediaan pasukannya.
“Semua pihak terbabit melakukan tanggungjawab untuk menangani sebarang risiko berpandukan pelan induk ibadat haji,” katanya.
Kementerian berkenaan mengumumkan bahawa tiada kes Covid-19 direkodkan dalam kalangan jemaah pada hari Tarwiyah.
Ketika pihak berkuasa Arab Saudi mengehadkan bilangan jemaah bagi mengekang penularan pandemik Covid-19, seorang wanita Macedonia yang menetap di Riyadh selama enam tahun menjadi antara yang bertuah kerana dapat mengerjakan haji tahun ini.
“Saya mengimpikan untuk mengerjakan haji sejak saya datang ke Arab Saudi dan ia kini menjadi kenyataan,” kata Hamide Halimi.
Hamide juga gembira melihat pihak berkuasa menguruskan supaya jemaah wanita berada paling hampir dengan Kaabah semalam sekali gus memudahkan mereka melakukan Tawaf.
Semasa dia berada di kota suci Mekah untuk melakukan umrah sebelum ini, Hamide mengelilingi Kabah dari jauh dan pernah sekali terpaksa Tawaf dari bumbung Masjidil Haram kerana bilangan jemaah begitu ramai.
Kini wanita itu sukar mempercayai betapa dekatnya dia dengan Kaabah semasa melakukan Tawaf selamat datang.
“Sukar saya mempercayai ia berlaku.
“Tahun lalu pada Hari Arafah, saya berdoa agar dapat melaksanakan ibadat haji tanpa menyusahkan sesiapa. Doa saya kini makbul. Ibadat haji saya dipermudahkan. Sukar saya untuk ungkapkan dengan kata-kata perasaan ini,” ujarnya.
Sementara itu, ibadat haji yang dikecilkan pada tahun ini dipercayai yang paling selamat di sebalik ancaman Covid-19.
Buat kali pertama dalam sejarah, kerajaan Arab Saudi mengurangkan secara drastik bilangan jemaah dan melaksanakan langkah kesihatan baharu yang ketat.
Hanya 10,000 orang Islam atau 0.4 peratus daripada 2.5 juta jemaah pada tahun lalu dibenar mengerjakan rukun Islam kelima itu kali ini. – AFP