Oleh TOREK SULONG
PASIR PUTEH – Penduduk Kampung Gong Manak di sini hanya mengharapkan kudrat seorang warga emas untuk menumbangkan kira-kira 50 ekor lembu mereka untuk menyempurnakan ibadat korban hari ini.
Tukang sembelih itu, Derasid Sulaiman, 72, berkata, ekoran mendapat banyak tempahan perkhidmatan penduduk kampung, dia terpaksa menolak permintaan dari kampung berhampiran yang memintanya membantu melaksanakan ibadat korban.
Menurutnya, sebelum ini, terdapat empat orang tukang sembelih lembu termasuknya dan mereka akan membahagikan tugasan mempercepatkan proses korban.
“Bagaimanapun, selepas kematian tiga tukang sembelih, tinggal saya seorang sahaja yang menjalankan tanggungjawab ini. Disebabkan itu, saya telah menyembelih lembu penduduk kampung mengikut giliran.
“Saya telah membuat jadual bagi memudahkan perjalanan dari rumah ke rumah untuk melaksanakan ibadah korban,” katanya ketika ditemui Kosmo! hari ini.
Menurut Derasid, kemahiran menyembelih lembu seharusnya dipelajari generasi muda agar setiap kampung tidak ketandusan tukang sembelih.
Katanya yang berpengalaman sebagai seorang tukang sembelih sejak 50 tahun lalu itu, selain kaedah menyembelih, cara mengikat dan merebahkan badan lembu juga perlu dipelajari untuk memudahkan kerja-kerja sewaktu melakukan korban.
“Lebih utama, mempelajari kaedah menjinakkan lembu supaya tenang dan tidak culas dengan kehadiran orang ramai.
“Meskipun menyembelih banyak lembu, saya tetap mematuhi arahan yang dikeluarkan kerajaan. Bagaimanapun, pelitup muka terpaksa dibuka ketika mengendalikan kerja sembelihan kerana ia memerlukan penggunaan tenaga dan pernafasan yang tidak terhalang,” katanya.
Menurut Derasid, selain dirinya, dua orang perlu berada berdekatannya untuk memegang kepala lembu sebelum proses sembelihan dilakukan.
Tambahnya, dia bersyukur apabila dapat menyembelih 50 ekor lembu meskipun sambutan Hari Raya Aidiladha kali ini berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya. – K! ONLINE