PUTRAJAYA – Sebanyak 12 kes jangkitan Covid-19 direkodkan hari ini termasuk tujuh kes penularan tempatan dengan dua daripadanya adalah kes di kluster aktif PUI Sivagangga, Kedah.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan kes itu menjadikan jumlah keseluruhan kes positif adalah sebanyak 8,976 dan kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 207.
Beliau berkata, daripada tujuh kes tempatan, lima kes adalah dalam kalangan warganegara yang direkodkan di Kedah (PUI Sivagangga) dengan dua kes dan masing-masing satu kes di Johor, Selangor dan Negeri Sembilan.
“Kes jangkitan dalam negara turut melibatkan dua bukan warganegara yang dikesan melalui satu kes saringan prapembedahan di Johor dan satu kes kematian dikesan positif Covid-19 di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, kes kematian yang ke-125 itu dikesan di Hospital Queen Elizabeth membabitkan seorang lelaki warga Filipina berumur 64 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung.
“Mangsa bergejala demam, batuk dan sesak nafas pada 25 Julai lalu namun tidak mendapatkan rawatan sebelum ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri pada 29 Julai lepas.
“Seterusnya mangsa dibawa ke Hospital Queen Elizabeth di mana dia disahkan meninggal dunia dan ujian saringan mendapati positif Covid-19,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, lima kes import pula dari Indonesia, Kuala Lumpur, Qatar dan United Kingdom yang membabitkan dua warganegara dan tiga bukan warganegara. -K! ONLINE