Oleh NUR NAZLINA NADZARI
KANGAR – Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) Perlis menemui tiga terowong serta sebuah telaga di kawasan hutan berhampiran sempadan Malaysia-Thailand di Kuala Perlis dekat sini yang dikhuatiri menjadi laluan penyeludupan.
Jarak lokasi tersebut dengan sempadan adalah enam meter selain ia boleh diakses dengan berjalan kaki melalui jalan hutan pada jarak satu kilometer dari Kampung Wai, Kuala Perlis.
Laluan masuk ke lokasi berkenaan berlumpur dan bersebelahan sebatang sungai.
Penemuan terowong itu adalah hasil maklumat penduduk tempatan yang mengesyaki berlaku aktiviti mencurigakan di situ.
Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, Aksem Perlis diarahkan untuk tidak meninggalkan lokasi tersebut yang ditemui sejak Mac lalu kerana dikhuatiri menjadi laluan penyeludup.
“Kawasan ini dekat dengan sungai yang mana penyeludup atau pendatang asing tanpa izin (PATI) boleh mengakses kawasan ini dari laut melalui sungai atau juga melalui jalan darat menerusi kawasan hutan.
“Walaubagaimanapun, buat masa ini tiada lagi tanda-tanda menunjukkan kawasan ini digunakan sebagai transit kepada PATI,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan ke lokasi itu di sini semalam.
Dalam pada itu, Surina memberitahu, pasukan Komando Vat 69 telah membuat tinjauan di kawasan tersebut dan mendapati ia dipercayai menjadi tapak mencari harta karun.
“Ini berdasarkan ada besi yang ditinggalkan di dalam terowong tersebut selain Vat 69 juga percaya ramai telah menceroboh termasuk wanita berdasarkan barang-barang ditemui termasuk tuala wanita.
“Berdasarkan pemerhatian, kawasan ini sudah ditinggalkan selama kira-kira setahun,” ujarnya. – K! ONLINE