MENJELANG sambutan Hari Raya Aidiladha, umat Islam dituntut menghidupkan syariat Nabi Ibrahim A.S. dengan melaksanakan ibadah korban sebagai salah satu cara untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT.
Ibadah korban dilaksanakan pada 10 Zulhijah dan hari-hari Tasyrik iaitu pada 11, 12 dan 13 Zulhijah.
Hukum pelaksanaan ibadah korban adalah sunat muakad dan makruh jika tidak melakukannya bagi yang berkemampuan.
Ramai masyarakat di negara ini tidak melepaskan peluang untuk melaksanakan ibadah tersebut dan ia bukan sahaja dilakukan di dalam negara bahkan di luar negara.
Ketika ini, banyak pakej ibadah korban di luar negara ditawarkan dengan harga yang lebih rendah bagi membolehkan orang ramai untuk turut serta melaksanakan ibadah tersebut.
Bagaimanapun, timbul persoalan manakah yang lebih baik, sama ada ibadah korban dilakukan di dalam negara atau di negara luar yang lebih memerlukan.
Pegawai Syariah Ez Qurban, Ustaz Mohd. Amirul Kamarudin berkata, ada masyarakat yang memilih untuk melaksanakan ibadah korban di luar negara kerana harganya yang lebih rendah berbanding di dalam negara.
“Kami sendiri menawarkan pakej ibadah korban di luar negara bagi membolehkan mereka yang kurang berkemampuan untuk turut serta dengan harga mampu milik.
“Harga satu bahagian di luar negara adalah serendah RM290 berbanding di dalam negara iaitu sekitar RM650,” katanya.
Tambahnya, sememangnya lebih afdal ibadah korban ini dilaksanakan di dalam negara tetapi tidak juga menjadi kesalahan jika ia dilakukan di luar negara terutamanya di negara yang memerlukan.
Dalam pada itu, Pengerusi Pertubuhan Multaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia (Murshid), Dr. Zaharuddin Abdul Rahman berkata, hampir semua ulama bersetuju bahawa sebaiknya penyembelihan ibadah korban dilakukan sembelihan itu dengan tangan sendiri.
Tegasnya, itu disepakati paling afdal kerana ia adalah suatu ibadah selain juga sunnah baginda Nabi Muhammad SAW.
“Penyembelihan korban di tempat sendiri adalah cara paling tepat untuk menaikkan syiar Allah SWT.
Terdapat ayat al-Quran dalam surah al-Hajj ayat ke-28 yang jelas menyatakan orang yang berkorban untuk makan sebahagian daripada daging korbannya, hal ini akan terhalang disebabkan berkorban secara wakil ke luar negara.
“Secara umumnya ibadah korban yang lebih baik adalah dilakukan di tempat kita berada,” katanya.
Katanya, ia terkecuali bagi sebahagian individu yang melakukan kerja amal dan berkorban di luar negara kerana menguruskan korban pihak lain.
“Maka tiada masalah baginya untuk berkorban di luar negara dan dia sendiri turut menyembelih dengan tangannya,” katanya.
Zaharuddin menambah, para ulama berbeza pendapat dalam menentukan keharusan melakukan ibadah korban.
“Mengikut Mazhab Hanafi, makruh dipindahkan ke luar kawasan kecuali jika disebabkan ada kerabatnya di sana atau yang lebih memerlukan.
“Mazhab Maliki pula menggariskan tidak harus dipindahkan sembelihan ke luar kawasan yang melebihi jarak musafir, kecuali jika ahli di luar kawasan lain tadi tersangat memerlukan maka bolehlah sebahagian besar dipindahkan,” katanya.