fbpx

Tukang sembelih ‘berehat’, ambil peluang balik beraya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MANAS menunjukkan parang yang biasa digunakan untuk proses penyembelihan haiwan korban di Seremban.

SEREMBAN – Setiap kali tibanya Hari Raya Aidiladha, Abdul Manas Md Isa antara individu paling dicari-cari kerana kepakarannya menyembelih haiwan untuk menyempurnakan ibadah korban.

Selama 26 tahun, Abdul Manas, 53, atau lebih dikenali sebagai Ustaz Manas dijemput ke masjid-masjid di Negeri Sembilan untuk menyembelih haiwan ternakan untuk dikorbankan seperti lembu dan kambing.

Bagaimanapun, akibat wabak Covid-19, parang sembelihan Manas buat pertama kalinya tidak diasah kerana dia tidak mene­rima sebarang jemputan untuk menyempurnakan ibadah korban pada tahun ini.

“Sebulan sebelum Hari Raya Aidiladha, saya biasanya sudah menerima banyak jemputan menyembelih haiwan untuk ibadah korban di beberapa masjid.

“Namun, pada tahun ini, saya tidak menerima sebarang jemputan untuk melakukan sembelihan kerana setiap masjid hanya dihadkan maksimum 10 haiwan untuk dikorbankan,” kata Manas yang bertugas sebagai Ketua Unit Siasatan di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan.

Manas berkata, sebagai persediaan melakukan penyembelihan, dia biasanya akan mengasah parang yang akan diguna bagi memastikan ia sentiasa tajam.

“Sebagai tukang sembelih, tanggungjawab yang dipikul agak berat kerana saya mesti memastikan haiwan yang dikorbankan dapat disembelih dengan sempurna supaya tidak menjejaskan ibadah berkenaan.

“Saya pernah menyem­belih 10 ekor lembu untuk dikorban pada satu hari dan hari ini, saya gembira kerana ramai anak muda sudah boleh menyempurnakan ibadah berkenaan,” katanya lagi.

Walaupun khidmatnya pada tahun ini tidak diperlukan, Manas mengakui tidak berasa sedih sebaliknya bersyukur kerana boleh pulang ke kampung isteri­nya di Jengka, Pahang lebih awal.

“Saya biasanya akan pulang lewat ke kampung kerana meme­nuhi jemputan untuk menyembelih haiwan korban.

“Tahun ini, saya boleh ber­sama keluarga pada pagi Hari Raya Aidiladha,” katanya. K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI