KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Bhd. (TNB) memperkukuhkan portfolio penjanaan tenaga di Semenanjung Malaysia dengan memeterai perjanjian pembelian saham dengan Jimah Energy Ventures Holdings Sdn. Bhd. (JEVH) dan Nota Kelas B yang dikeluarkan Special Power Vehicles Bhd. (SPVB).
Perjanjian tersebut melibatkan pembelian lima peratus saham biasa masing-masing dalam JEVH dan SPVB dengan nilai keseluruhan bernilai RM80 juta daripada Menteri Besar Negeri Sembilan (Pemerbadanan)
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pertambahan pegangan dalam JEVH boleh membawa pulangan positif kepada pendapatan Kumpulan TNB.
“Ia juga akan menambah nilai bagi pihak berkepentingan TNB (stakeholders) dalam jangka masa panjang,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.
Dokumen perjanjian jual beli itu ditandatangani oleh Amir Hamzah bagi mewakili TNB dan dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
TNB kini memiliki 25 peratus ekuiti, masing-masing dalam saham biasa JEVH dan Nota Kelas B Special Power Vehicle Berhad.
Baki 75 peratus saham dan Nota Kelas B masing-masing dipegang anak-anak syarikat Edra Power Holdings Sdn. Bhd.
JEVH buat masa ini memegang 100 peratus pegangan ekuiti dalam Jimah Energy Ventures Sdn. Bhd. (Jimah Energy).
Jimah Energy ialah sebuah syarikat kegunaan khas yang diwujudkan untuk pembangunan dan operasi Stesen Janakuasa Arang Batu berkapasiti 2 x 700 MW dengan kontrak Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) selama 25 tahun, yang akan tamat pada tahun 2033.
Stesen tersebut terletak di Mukim Jimah, Port Dickson dan bersebelahan dengan Stesen Janakuasa Tunku Mukhriz yang berkapasiti 2 x 1000 MW.
TNB mempunyai 70 peratus kepentingan di dalamnya.
Sehingga Tahun Kewangan 2019, kapasiti penjanaan TNB merangkumi 45.66 peratus (6895.37MW) dari arang batu, 33.17 peratus (5009.91MW) dari gas dan 21.17 peratus (3196MW) dari tenaga boleh diperbaharui dan lain-lain.