fbpx

Maqis rampas Golden Arowana bernilai RM200,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian ikan Golden Arowana yang dirampas di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Kargo susulan dokumen diisytiharkan tidak sama.

Oleh SITI A’ISYAH SUKAIMI

SEPANG – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas 600 ikan Golden Arowana bernilai RM215,816.70 yang cuba dieksport ke China di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Kargo pada 28 Julai lalu.

Pengarah Maqis Selangor, Dr. Tarmisal Alimin berkata, rampasan itu susulan nombor mikrocip pada ikan tersebut tidak sama dengan dokumen Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesis Fauna Dan Flora Terancam (CITES) yang diisytiharkan semasa semakan di Bay 8, KLIA Kargo.

“Dagangan ikan Golden Arowana tersebut ditahan oleh pihak Maqis kerana dipercayai memberikan dokumen tidak tepat dan mengelirukan dalam pengeksportan ketika pemeriksaan dijalankan.

“Ikan Golden Arowana tersebut ditahan dan akan disiasat mengikut Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] iaitu mengeksport dengan mengisytiharkan dokumen palsu, tidak tepat atau mengelirukan merupakan suatu kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan seksyen tersebut, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Mengulas lanjut, Tarmisal berkata, Golden Arowana atau nama saintifiknya ‘Scleropages Formosus’ merupakan ikan di bawah kawalan CITES.

“Pihak Maqis sentiasa menjalankan pemeriksaan bagi memastikan sebarang kemasukan dan keluaran komoditi haiwan, pertanian dan ikan sentiasa mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan bagi menjamin biosekuriti negara,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI